Showing posts with label KURJAS 09. Show all posts
Showing posts with label KURJAS 09. Show all posts

Meriahnya BBQ KURJAS



Meriahnya BBQ KURJAS...


Alhamdulillah... pada malam semalam, 26hb. warga KURJAS 09 serta warga Balai Islam telah pun mengadakan BBQ, yakni sambungan daripada BBQ yang tak sempat di masak lagi pada Ahad yang lepas. BBQ bermula sekitar jam 9.30 malam, bertempat di cafe. Pada pemerhatian saya, keadaan dan suasana memang agak meriah dengan kehadiran warga KURJAS dan Balai Islam.

Hujan renyai2 dan kadang-kadang menjadi lebat tidak langsung pun membatalkan niat kami untuk terus bersama-sama memasak ayam BBQ yang sedap lagi enak.. Proses memasak berjalan dengan lancar saya kira. Ayam pun masih berada dalam keadaan yang baik, menyebabkan kami tak sabar2 untuk memakan ayam tersebut. Hehehe... Setelah mengemas2 ditambah pula dengan hujan yang lebat, BBQ tersebut akhirnya tamat pada jam 2.30 pagi ! Semua ayam berjaya kami masak dan selamat dimakan.

Kegembiraan dan kekenyangan saya kira boleh jelas kelihatan di muka semua yang menghadiri BBQ tersebut. Terima kasih saya ucapkan kepada semua warga KURJAS yang menjayakan BBQ tersebut. Terima kasih juga kepada warga Balai Islam yang turut sama memeriahkan lagi BBQ tersebut. Memandangkan permintaan yang tinggi dan melihat kepada pengeratan silaturahim, maka saya mencadangkan elok kiranya ia diadakan selalu atau sekali sekala. Kerana, saya rasa, dengan adanya BBQ tersebut contohnya, ia lebih menampakkan kemesraan dan mungkin boleh menghilangkan stress disamping dapat lebih mengeratkan ukhwah dalam kalangan kita. Akhir sekali, terima kasih saya ucapkan kepada semua...

Pantun Perpisahan: KURJAS 09


Andai mentari di hujung ufuknya
Pasti malam kan menjelma jua
Andai pertemuan ternyata indahnya
Pasti perpisahan menanti di akhirnya

Jika benar perpisahan di akhirnya
Nyatalah pertemuan itu, ada penghujugnya

Maaf dipohon sejahtera hendaknya
KURJAS 09 melabuhkan tirainya

-HasYimie-
8.45 p.m 22 Feb.09

Ucapan Majlis Penutupan KURJAS 09

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِىْ جَعَلَ الْمَوْتَ اِسْتِرَاحَةً لِلْمُوْءمِنِيْنَ مِنْ تَعَبِ الدُّنْيَا بَعْدَ مَا كَانُوْا يَعْبُدُوْنَ اللهَ لِنَيْلِ السَّعَادَةِ الْعُلْيَا.


Hadirin hadirat yang dikasihi sekalian.


Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan kepada semua. Pertamanya, marilah kita mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran terhadap ilahi kerana memberi peluang kepada kita untuk terus hidup dan dapat berkumpul pada majlis yang mulia ini.


Hadirin hadirat, serta sahabat sekalian


Realitinya, masih ramai umat islam sendiri yang kurang pengetahuan serta kefahaman mengenai cara serta kaedah pengurusan jenazah dan juga penyembelihan haiwan. Oleh itu, Balai Islam ASTAR sekali lagi mengambil inisiatif untuk menganjurkan kursus jenazah dan amali sembelihan (kurjas 09).


Antara objektif utama, ialah untuk memberikan pengetahuan serta kesedaran mengenai kepentingan pengurusan jenazah dan penyembelihan mengikut kehendak Islam.


Bertemakan ilmu suatu keperluan, kematian suatu kepastian, Kurjas 09 juga turut bertujuan untuk merapatkan lagi silaturahm serta ukhwah dalam kalangan keluarga balai islam sendiri kuhusunya serta warga kolej amnya.


Hadirin yang dikasihi sekalian,


Saya tidak bercadang untuk berucap panjang, maka, diakhirnya, sukalah saya untuk memberikan analogi mudah untuk kita fahami bersama. Anda dihidangkan secawan kopi yang aromanya begitu sedap. Apabila anda menghirup kopi tersebut, anda akan berkata, sedapnya air kopi ni, lebih kurang begitulah... tetapi kita tidak sedar, apa yang menyebabkan air kopi tersebut menjadi sedap, sudah pasti serbuk kopi tersebut.


Orang tidak minum pun serbuk kopi tersebut. Tetapi sumbangan serbuk kopi tersebut amat besar, kalau tiada serbuk kopi itu, maka tiadalah air kopi. Serbuk tersebut, diperlukan untuk menghasilkan air kopi, Tetapi apabila air kopi telah siap, dihidangkan kepada ramai orang. serbuk tersebut tidak lagi digunakan. Begitulah juga dengan kita, dalam pada kita berprogram, kita merancang program ilmu terutamanya, memang banyak yang perlu dikorbankan.


Tenaga kerja, wang, dan masa terutamanya, tetapi diakhirnya, tanpa kita sedari, sebaik sahaja program itu selesai, insyallah, dengan niat kita yang ikhlas, kita baru sahaja menjadi perantara untuk memberikan kefahaman dan ilmu pengetahuan kepada orang ramai... iaitu melalui kursus jenazah, kursus sembelihan dan ceramah ke syurgakah aku yg mendpt sambutn yang amat menggalakkan, begitulah pengorbanan yang ingin saya ceritakan.


Sekali lagi, terima kasih saya ucapkan kepada semua warga kurjas 09 yang telah bersama2 menjayakan Projek Balai islam yang ke-3 untuk sesi 08/09. Sememangnya, sepanjang kita berprogram, ia mengajar kita erti kesilapan yang akhirnya membawa kepada pengalaman. Pengalaman yang bukan sebarang pengalaman, tetapi pengalaman yang membawa kepada sebuah kisah...


indah bersinar cahaya tarbiyah

terserlah serinya menyuluh ummah

renungi diri dengan muhasabah

ikhlaskan niat terus beristiqomah


Sekian, Wabillahi taufiq wal hidayah, wslm....

Menarik Sempena KURJAS 09


menarik sempena:
Kursus Jenazah & Amali Sembelihan (KURJAS 09)
Balai Islam Kolej Kediaman Pertama UM
26 - 27 Safar 1430 / 21-22 Feb 2009


Kursus Pengurusan Jenazah
dengan kerjasama: JAWI

Kursus & Amali Sembelihan
dengan kerjasama; JAWI


Ceramah Perdana Ke Syurgakah Aku?

oleh: Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood

Malam Perasmian Penutup

Persembahan Sketsa: Menanti Di Barzakh

Persembahan nasyid & multimedia



*SEMUA DIJEMPUT HADIR MEMERIAHKAN LAGI MAJLIS KAMI*
~ TERIMA KASIH ~


Konsep Halal Haram: Perlu Jelas

Masyarakat Perlu Jelas Tentang Konsep Halal dan Haram

Oleh : Mohamad Syafiqe Abdul Rahim



Kita selaku umat Islam yang tinggal di sebuah Negara Islam dan mempunyai pemikiran yang maju selaras dengan konsep Islam Hadhari seharusnya tidak boleh mengabaikan konsep halal-haram pemakanan. Meskipun kita mungkin melihat agak remeh untuk memikirkan tentang isu ini, namun apa yang membimbangkan ialah kesan serta natijahnya kepada diri dan kerukunan bangsa kita pada masa akan datang. Memang diketahui umum bahawa iman merupakan teras pembentukan jiwa dan peribadi diri yang suci lagi murni. Oleh itu, adalah amat penting pemakanan halal yang mampu menjana pembikinan muslim yang hakiki dan sempurna dari semua segi keperibadian manusia,



UMAT manusia secara am dan umat Islam secara khusus diperintah supaya memakan hanya yang halal. Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 168) bermaksud: “Wahai manusia makanlah daripada apa yang Kami berikan di muka bumi ini yang halal lagi bermutu dan jangan sekali-kali kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana syaitan itu musuh yang nyata.” Jelas, kepentingan makanan yang halal telah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran lebih 1400 tahun yang lampau menunjukkan betapa pentingnya konsep pemakanan halal yang sempurna. Malah mengikut ayat 88 surah al-Maidah, Allah menegaskan bahawa makan dan minum adalah tanda keimanan seseorang. Ini bermaksud cara pemilihan makanan dan minuman itu membuktikan nilai iman seseorang.


Namun, kita sebagai masyarakat Islam yang berkongsi sebuah negara dengan masyarakat bukan Islam yang lain perlu lebih prihatin dan mampu memilih makanan yang halal mengikut syarak. Masyarakat bukan Islam di Malaysia perlu dijelaskan dengan lebih mendalam tentang konsep halal-haram makanan mengikut perspektif Islam yang sebenarnya. Kita perlu mengubah tanggapan mereka bahawa makanan yang halal bukan makanan daripada babi sahaja tetapi juga meliputi pelbagai konsep lain yang perlu dijelaskan dengan lebih mendalam. Antara konsep yang perlu diambil perhatian adalah:


  1. Punca makanan tersebut iaitu seperti daging yang digunakan. Kebanyakan masyarakat bukan Islam menganggap hanya khinzir makanan yang haram dalam Islam tetapi mereka perlu dijelaskan tentang konsep binatang yang haram dimakan dalam Islam seperti binatang yang bertaring serta binatang yang hidup dua alam dan binatang yang jijik seperti cicak dan sebagainya.
  2. Seterusnya ialah kaedah penyembelihan haiwan. Masyarakat bukan Islam tidak tahu konsep penyembelihan haiwan dalam Islam. Lebih menakutkan adalah sekiranya mereka sendiri yang menyembelih haiwan tersebut dan menjual di pasaran terbuka. Sedangkan antara syarat penyembelihan dalam Islam adalah penyembelih mestilah orang Islam. Selain itu, peniaga makanan bukan Islam juga perlu memastikan haiwan yang mereka beli di pasaran dibeli daripada peniaga Islam atau dari syarikat penyembelihan yang mendapat pengiktirafan halal oleh JAKIM.
  3. Mereka juga perlu dijelaskan tentang cara pengurusan makanan dan pemprosesan sesuatu bahan makanan. Adakah tempat untuk mereka proses terhindar dari sebarang najis. Adakah tempat penyimpanan makanan tersebut bercampur dengan bahan-bahan yang haram disisi Islam. Begitu juga dari segi pengangkutan. Adakah barang makanan tersebut dibawa dengan pengangkutan yang juga memuatkan bahan makanan yang haram disisi Islam seperti daging khinzir yang dicampur dengan ayam dalam sebuah lori.
  4. Aspek seterusnya yang perlu diberi perhatian adalah dari segi ramuan dalam bahan makanan. Sebagai contoh bahan makanan yang dicampur dengan alkohol ,minyak dari lemak khinzir dan sebagainya. Malah kedapatan restoran yang memaparkan lambang halal tetapi bahan makanannya dicampur dengan ramuan seperti alkohol dan sebagainya.Ini sering berlaku dikebanyakan restoran-restoran dan hotel yang menggunakan khidmat chef dari luar negara.
  5. Seterusnya dari segi peralatan yang digunakan untuk memasak dan memproses sesuatu bahan makanan. Pihak berkenaan perlu memastikan bahawa peralatan seperti kuali, periuk, pisau dan sebagainya tidak pernah digunakan untuk memasak bahan makanan yang haram mengikut syariat Islam. Kita tidak mahu kuali yang pernah digunakan untuk memasak daging khinzir digunakan pula untuk memasak makanan bagi orang Islam pula.
  6. Perkara terakhir yang perlu diberi perhatian adalah dari segi penjagaan kebersihan makanan dari benda-benda yang dianggap mengotorkan dalam Islam dan tidak suci. Mungkin pelanggan tidak menyangka restoran yang memaparkan logo halal dan mempunyai persekitaran yang bersih di luar tetapi di bahagian dapur berada dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak memenuhi ciri-ciri konsep halal dalam Islam.


Jika semua konsep asas ini dapat dijelaskan dengan sempurna kepada masyarakat bukan Islam, nescaya tidak akan berlakunya masalah dan kes sosej yang diproses dengan usus khinzir dan kes-kes yang lain. Atas dasar ini, beberapa langkah efektif perlu diambil perhatian oleh pihak berkenaan untuk memastikan masyarakat bukan Islam memahami dengan jelas apa sebenarnya konsep halal-haram pemakanan dalam Islam. Risalah-risalah perlu diedarkan kepada peniaga bukan Islam untuk memberi kefahaman sepernuhnya kepada mereka agar menyedarkan mereka tentang konsep pemakanan halal dalam Islam. Begitu juga, seminar tentang konsep halal-haram pemakanan menurut Islam perlu dijalankan kepada wakil setiap peniaga restoran dan syarikat pemprosesan makanan di setiap negeri.


Selain itu, pemantaun yang lebih bagi memastikan logo halal yang digunakan tidak disalah guna oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Cadangan logo halal berkonsepkan hologram perlu dipraktikkan dengan serius.Ini kerana dengan cara ini peniaga yang ingin mengaut keuntungan lebih tidak dapat meniru logo halal keluaran JAKIM.


Peniaga yang mendapat kelulusan halal bagi restoran atau bahan makanan keluaran mereka perlu diberi kad kelulusan bercip bagi memudahkan pihak JAKIM melakukan pemeriksaan pada masa akan datang. Kad bercip itu akan mengandungi segala maklumat seperti bahan makanan serta ramuan yang disediakan oleh syarikat atau peniaga tersebut begitu juga dengan kaedah pemprosesan bahan makanan keluaran mereka.


Secara ringkasnya, kita inginkan sebuah Negara Islam Malaysia yang bukan sahaja maju dari segi pembangunan negara tetapi juga maju dari segi nilai moral dan etika insan yang berusaha untuk memajukannya.Ini bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang sering dikatakan oleh kerajaan iaitu maju dari segi pembangunan seiring dengan kemajuan sahsiah diri masyarakatnya. Perlu diingat bahawa usaha menyedarkan konsep halal perlu diperluaskan lagi skopnya bukan sahaja kepada orang Islam tetapi kita selaku masyarakat Islam perlu memperjelaskan isu halal ini kepada masyarakat bukan Islam.


Masyarakat yang maju adalah yang maju dari semua segi bukan sahaja dari segi pembangunan material sahaja tetapi dari segi kemajuan insani yang jitu dan mapan. Atas dasar itulah pemakanan yang sempurna dan halal mengikut kehendak syarak membawa kepada keutuhan iman dan kegemilangan sesebuah bangsa itu.

Mentafsir Putih


MENTAFSIR PUTIH

(sempena KURJAS 09)


Putih sebuah rumah

Rumah putih

tapi pemiliknya berhati arang.


Putih merpati

merpati putih

tapi matanya berbiji saga.


Putih sehelai bendera

bendera putih

berkibar di selaput awan.


Putih selimut

selimut putih

membalut tubuh kebenaran.


Abdul Hadi Yusoff
Jan 2009

6 Hari Menjelang KURJAS 09

...Assalamualaikum...

salam ukhwah, salam mahabbah


Telah lama rasanya tidak menulis di ruangan ini. Baiklah, biar saya mulakan begini. Seperti yang kita sedia maklum, projek ke-3 Balai Islam ASTAR untuk sesi 2008/2009 iaitu Kursus Jenazah & Amali Sembelihan (KURJAS 09) akan berlangsung tidak lama lagi. Dengan berbaki lebih kurang 6 hari sahaja lagi, sudah pasti persiapan terakhir dan terbaik sedang dilakukan.


Dikesempatan ini juga, saya berharap dan memohon agar semua warga KURJAS 09 dapat menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh. Elakkan rasa tertekan, tenang-tenangkan pemikiran kalian. Senyum selalu, moga tugasan kalian dapat dilaksanakan dengan lancar. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik anda. Kesimpulan awalnya, sebagai pemimpin yang masih memerlukan tunjuk ajar daripada semua pihak, saya berharap agar kalian dapat memberikan kerjasama kepada saya.


Diri ini sedar, mengetuai sesuatu organisasi, sebagai pemimpin atau ketua, diri ini mestilah lebih kuat dan tabah berbanding yang lain. Analoginya mudah, bayangkan sebuah keretapi yang sedang menaiki bukit, kepala keretapi yang berada di bahagian paling hadapan haruslah lebih kuat dan tinggi kuasanya. Bertujuan untuk menarik gerabak-gerabak yang berada di belakangnya. Jika kepala keretapi tersebut tidak kuat dan tidak cukup kuasanya, sudah pasti ketika menaiki bukit tersebut, kesemua gerabak akan meluncur dan tergelincir turun semula, akibat kepala keretapi yang tidak kuat.


Apa yang nyata, saya masih lagi memerlukan sokongan kalian. Kerana diri ini bukanlah kepala keretapi yang mampu menarik gerabak yang begitu banyak. Namun, mujurlah, saya masih ada sahabat-sahabat yang banyak membantu dan memberikan kerjasama yang baik. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Tanpa kalian, tidak tahulah di mana kata hati ini hendak diluahkan. Berpesan kepada diri sendiri juga, ingatlah, Allah itu Maha Mendengar, Maha Pengasih. Betulkan niat masing-masing. Nescaya pertolongan Allah itu ada di mana-mana. Di akhirnya, saya sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kalian, ada orang kata, jika semuanya sempurna, kita tidak dapat belajar daripada kesilapan.


Memang saya setuju, kesilapan mengajar erti kehidupan, namun, jika kesilapan itu boleh dielakkan, adalah lebih baik, ia dielakkan agar kita dapat memberikan yang terbaik. Menuntut kesempurnaan itu memang sesuatu yang agak mustahil, tetapi cukuplah jika kita memberikan yang terbaik. Eminn..


Yang Berkhidmat: HasYim


KURJAS 09

"ilmu suatu keperluan, kematian suatu kepastian"

Design Baju KURJAS '09





terima kasih kepada designer
juga kepada yang telah menempahnya
baju ini akan terhangat di pasaran tidak lama lagi
nantikan kemunculannya :-)

KURJAS 09: Mesyuarat


Mesyuarat
Kursus Jenazah & Amali Sembelihan


Tarikh :
12 Februari 2009

Masa :
9.00 malam

Tempat :
Bilik Mesyuarat Blok A

Kehadiran:
Penyelia Penasihat
Pengerusi Balai Islam
MT & PP KURJAS


Mesyuarat Pembentangan Master Plan
Kursus Jenazah & Amali Sembelihan


Tarikh :
19 Februari 2009

Masa :
9.00 malam

Tempat :
Bilik Mesyuarat Blok A

Kehadiran:
MT , PP , AJK KURJAS



Mesyuarat Post Mortem
Kursus Jenazah & Amali Sembelihan


Tarikh :
23 Februari 2009

Masa :
9.00 malam

Tempat :
Bilik Mesyuarat Blok A

Kehadiran:
Penyelia Penasihat
Presiden Kolej / wakil
Pengerusi Balai Islam
MT , PP , AJK KURJAS


Tentatif KURJAS 09

logo rasmi


ATURCARA KURSUS PENGURUSAN JENAZAH

DAN AMALI SEMBELIHAN

(KURJAS ’09)


21 Februari 2009 (Sabtu)


Kursus Pengurusan Jenazah

Tempat: Anjung Ilmu, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya


8.30 pagi : Pendaftaran peserta

8.45 pagi : Ketibaan penceramah dari JAWI

9.00 pagi : Kursus pengurusan jenazah

11.00 pagi : Rehat & makan tengahari

11.30 petang : Praktikal pengurusan jenazah (mandi, kapan, solat)

2.00 petang : Bersurai


Ceramah Perdana KURJAS 09

Tempat: Dewan Tun Perak, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya


8.30 malam : Ketibaan hadirin

9.00 malam : Ketibaan tetamu vip

9.15 malam : Tayangan multimedia

9.30 malam : Ceramah Perdana

Tajuk: Ke Syurgakah Aku ?

Oleh : Ustazah Datuk Nor Bahyah binti Mahamood

11.00 malam : Jamuan dan bersurai


22 Februari 2009 (Ahad)


Kursus Amali Sembelihan

Tempat: Anjung ilmu, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya


8.30 pagi : Ketibaan peserta dan penceramah dari JAWI

9.00 pagi : Ceramah kursus amali sembelihan

11.00 pagi : Rehat & makan tengahari

11.30 pagi : Praktikal sembelihan

2.00 petang : Bersurai


Majlis Perasmian Penutup

Tempat: Dewan Tun Perak, Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya


8.30 malam : Ketibaan hadirin

8.45 malam : Ketibaan tetamu vip

9.00 malam : Nyanyian lagu kolej dan bacaan doa

9.10 malam : Ucapan Pengarah

Mohd Hasyim bin Harun

9.20 malam : Ucapan Perasmian Penutup

Oleh: Pengetua, Dr. Woo Chaw Seng

9.30 malam : Tayangan multimedia

9.40 malam : Persembahan sketsa

10.30 malam : Persembahan nasyid

11.00 malam : Jamuan dan bersurai


tentatif tertakluk kepada pindaan

tujuan ia disiarkan adalah untuk memberikan

maklumat awal kepada para peserta. Harap maklum

    ....LOGO RASMI....

    ....LOGO RASMI....

    SAF KEPIMPINAN

    Sampaikan Salam


    ShoutMix chat widget

    Penyelia Penasihat

    Penyelia Penasihat
    En Mat Zaid Bin Hussein

    Pengerusi

    Pengerusi
    Suhail Anwar B
    Mohamed Nor

    Timb. Pengerusi

    Timb. Pengerusi
    Mohd Hasyim Harun

    Setiausaha

    Setiausaha
    Tunku Aisyah Tunku Mat

    Bendahari

    Bendahari
    Nursyahida Abd Rashid

    PP Pengisian & Pengimarahan

    PP Pengisian & Pengimarahan
    Awang Abdullah
    Abdul Razak

    TPP Pengisian & Pengimarahan

    TPP Pengisian & Pengimarahan
    Nurul Izyan Zainuddin

    PP Publisiti & Informasi

    PP Publisiti & Informasi
    Luqman Hakim
    Muhd Fadzir

    TPP Publisiti & Informasi

    TPP Publisiti & Informasi
    Nurul Syahidah Roslam

    PP Dana & Kebajikan

    PP Dana & Kebajikan
    Ahmad Azhari Nordin

    TPP Dana & Kebajikan

    TPP Dana & Kebajikan
    Adibah Dzulkifli

    PP Domestik & Teknikal

    PP Domestik & Teknikal
    Ahmad Fadhlul Hadi Abdul Hamid

    TPP Domestik & Teknikal

    TPP Domestik & Teknikal
    Liyana Syazwani Abdul Razak

    PP Pengurusan Surau

    PP Pengurusan Surau
    Mohd Syahir Bin Lokman

    TPP Pengurusan Surau

    TPP Pengurusan Surau
    Norsaima Ismail


    Followers