Hari Ini Mesti Lebih Baik Daripada Semalam

6 Hari Menjelang KURJAS 09

...Assalamualaikum...

salam ukhwah, salam mahabbah


Telah lama rasanya tidak menulis di ruangan ini. Baiklah, biar saya mulakan begini. Seperti yang kita sedia maklum, projek ke-3 Balai Islam ASTAR untuk sesi 2008/2009 iaitu Kursus Jenazah & Amali Sembelihan (KURJAS 09) akan berlangsung tidak lama lagi. Dengan berbaki lebih kurang 6 hari sahaja lagi, sudah pasti persiapan terakhir dan terbaik sedang dilakukan.


Dikesempatan ini juga, saya berharap dan memohon agar semua warga KURJAS 09 dapat menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh. Elakkan rasa tertekan, tenang-tenangkan pemikiran kalian. Senyum selalu, moga tugasan kalian dapat dilaksanakan dengan lancar. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih di atas kerjasama dan komitmen yang telah diberikan. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik anda. Kesimpulan awalnya, sebagai pemimpin yang masih memerlukan tunjuk ajar daripada semua pihak, saya berharap agar kalian dapat memberikan kerjasama kepada saya.


Diri ini sedar, mengetuai sesuatu organisasi, sebagai pemimpin atau ketua, diri ini mestilah lebih kuat dan tabah berbanding yang lain. Analoginya mudah, bayangkan sebuah keretapi yang sedang menaiki bukit, kepala keretapi yang berada di bahagian paling hadapan haruslah lebih kuat dan tinggi kuasanya. Bertujuan untuk menarik gerabak-gerabak yang berada di belakangnya. Jika kepala keretapi tersebut tidak kuat dan tidak cukup kuasanya, sudah pasti ketika menaiki bukit tersebut, kesemua gerabak akan meluncur dan tergelincir turun semula, akibat kepala keretapi yang tidak kuat.


Apa yang nyata, saya masih lagi memerlukan sokongan kalian. Kerana diri ini bukanlah kepala keretapi yang mampu menarik gerabak yang begitu banyak. Namun, mujurlah, saya masih ada sahabat-sahabat yang banyak membantu dan memberikan kerjasama yang baik. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan. Tanpa kalian, tidak tahulah di mana kata hati ini hendak diluahkan. Berpesan kepada diri sendiri juga, ingatlah, Allah itu Maha Mendengar, Maha Pengasih. Betulkan niat masing-masing. Nescaya pertolongan Allah itu ada di mana-mana. Di akhirnya, saya sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada kalian, ada orang kata, jika semuanya sempurna, kita tidak dapat belajar daripada kesilapan.


Memang saya setuju, kesilapan mengajar erti kehidupan, namun, jika kesilapan itu boleh dielakkan, adalah lebih baik, ia dielakkan agar kita dapat memberikan yang terbaik. Menuntut kesempurnaan itu memang sesuatu yang agak mustahil, tetapi cukuplah jika kita memberikan yang terbaik. Eminn..


Yang Berkhidmat: HasYim


KURJAS 09

"ilmu suatu keperluan, kematian suatu kepastian"

Saki Baki Untuk Yang Tersayang ?


“Sebelum tidur nanti aku solat Isyak. Sekarang habiskan study group dulu”


“Ada RM20 je. Kalau lepas shopping ada lebih, aku sedekahlah kat Pak Cik ni”


“Baca KOSMO dululah. Habis je nanti aku bacalah al-Quran”


“Yang penting selesaikan kerja ni dulu. Kalau sempat aku turun ke surau dengar ceramah”


Biasa mendengar atau menggunakan dialog di atas? Jika tidak mirip mungkin seakan-akan sama? Jangan tipulah. Pasti ada.


Ibarat nasi berlauk ikan yang kita jamah bersama keluarga, jika ada lebih saki baki ikan seperti kepala dan tulangnya, ataupun lauk ayam, saki baki lemak, kulit atau tulangnya kita hidangkan kepada Si Tompok kucing tersayang. Begitu juga kita memberi saki baki masa kita untuk ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Agung yg kita akui kita cinta dan kita hormati.


Kalau mahu bermesyuarat, sanggup dahulukan mesyuarat daripada solat berjemaah Isyak di surau. Kalau mahu berprogram, sengaja mengawalkan masa yang menganggu waktu solat. Kalau tengah sibuk belajar, bukannya tidak boleh berhenti sekejap dan dahulukan solat.


Apabila ada duit, tak pernah terfikir nak mengasingkan sedikit untuk amal jariah. Bukannya menguntungkan orang lain, diri sendiri juga yang mendapat manfaatnya. Kita lebih suka menunggu jika ada rezeki lebih baru nak memberi sedekah.


Membaca surat khabar sehingga 1 jam setiap hari, menghadap komputer melayari laman web dan bersembang dengan kawan-kawan kita dahulukan daripada membaca kitab Allah SWT. Walaupun sebenarnya membaca 1 juzuk al-Quran boleh dihabiskan dalam masa 20 minit.


Inilah kita. Kita kata kita cinta Allah. Kita kata kita mengharapkan rahmat dan reda Allah. Kita kata Allahlah segala-galanya di hati kita. Kita kata kita tak boleh hidup tanpa petunjuk Allah. Kita kata rezeki, jodoh, ajal dan maut adalah dengan ketentuan Allah. Kita kata kita nak mati dengan mengucap kalimah Allah. Kita kata nanti kita nak jumpa Allah.


Tapi kita memberi saki baki masa kita kepada Allah. Kita membelakangkan Allah. Kita meletakkan Allah di tempat yang tidak sepatutnya dalam hati kita. Kita bermain-main dalam taat pada perintah Allah. Kita sambil lewa dengan setiap perintah Allah. Kita memang tak pernah nak sedar.


Memang. Memanglah Allah Maha Pemurah. Allah Maha Penyayang. Allah Maha Sabar. Tetapi ingat. Ingatlah Allah juga Maha Kaya, Dia tidak perlukan kita. Allah juga Maha Kuasa, sekelip mata Allah boleh tunjukkan . Allah juga Maha Zalim, Dia akan memberi balasan kepada orang yang tidak tahu bersyukur.


Allah berfirman dalam surah 84 ayat 6 yang bermaksud ‘Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya’. Sudahkah kita bekerja keras? Kita memberi saki baki masa dan harta kita untuk Allah. Hanya saki baki yang selayaknya bukan untuk Tuhan yang mencipta kita. Selayaknya saki baki untuk sesuatu yang rendah tarafnya. Jika perbandingannya begitu maka kita anggap Allah itu apa dan siapa? Apa dan siapa Allah di hati kita? Dimana letaknya?


Allah berfirman lagi dalam surah 58 ayat ke 17 ‘Harta benda dan anak-anak mereka tidak berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka dari azab Allah. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya’. Berapa ramai yang seangkatan dengan Haji Bakhil menyumbangkan seringgit dua untuk yang memerlukan sedangkan hartanya banyak dan dibazirkan pada tempat yang tidak wajar? Keluarga diutamakan lebih daripada Allah. Tak perlu pandang belakang, kiri atau kanan tetapi lihatlah keluarga kita. Emak yang mithali mengutamakan kerja-kerja memasak, mengemas rumah, mengurus anak lebih daripada mengurus soal solat dan tilawah. Sehinggakan waktu Subuh tergadai kerana sibuk menguruskan hal makan pakai anak-anak. Ini bukan lagi saki baki yang kita berikan pada Allah, tetapi tiada apa-apa. Kosong.


Betapa banyaknya peringatan Allah dalam al-Quran yang menjadi bekalan untuk kehidupan yang sejahtera sebagaimana Allah berfirman dalam surah 58 ayat ke 11 ‘Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis”, maka lapangkanlah. Nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu’. Ceramah ringkas selepas Maghrib atau Kuliah Maghrib sering kita abaikan. Kita lebih biasa dan suka mengisi masa tersebut dengan menonton berita di kaca TV dan menyiapkan tutorial. Malah lebih teruk lagi masa itu adalah masa untuk makan dan mandi. Seakan-akan tiada masa lain lagi. Macamlah kita sibuk sangat.


Kita tidak sibuk, tetapi kita suka mengamalkan sikap suka menangguh kerja. Maka segala tugas yang sepatutnya boleh dilakukan dengan tenang kita terpaksa bergegas. Jadi kelam-kabut. Maka kelapangan apa lagi yang boleh kita harapkan? Allah hanya akan memberi kelapangan kepada orang beriman yang melapangkan dirinya untuk majlis-majlis. Bolehkah kita untuk merasa lapang sedangkan kita tidak boleh melapangkan sedikit masa untuk majlis-majlis ilmu lagi bermanfaat?


Saya suka dalam konteks menyampah dan penat ingin sekali menarik perhatian pembaca tentang situasi kita. Kita yang memang suka melambakkan tugas dan merasa kitalah yang paling sibuk sekali. Kita merasa kita sudah cukup alim walhal main-main dalam melaksanakan perintah Allah. Kita merancang program bermanfaat tetapi cara dan prosesnya yang tidak kena. Mesyuarat berjam-jam tanpa strategi. Berterabur membazir masa.


Baru-baru ini, ada segolongan Muslim menganjurkan program makan malam yang dalam kad jemputan tertera masanya pada pukul 7 malam. Mengucap panjang saya. Alasannya tulis je 7 malam, tetapi mula pukul 9. Nasib baik saya ini pelajar universiti, bolehlah berfikir sikit-sikit. Kalau nak mula pukul 9 kenapa perlu tulis pukul 7 malam? Saya terus boikot program yang macam ini. Nak tegur pun tidak mampu dah.


Untuk Yang Tersayang, kita sanggup menunggu awal walaupun janjinya lambat lagi. Untuk Yang Tersayang, harta sanggup digadai agar Dia gembira. Untuk Yang Tersayang, lautan api sanggup kita renangi, badai berombak sanggup ditempuhi agar Dia dapat kita bahagiakan.


Untuk Allah yang kita sayang. Adakah saki baki yang mahu kita berikan?


daripada: Yuana

Cinta Hakiki

CINTA HAKIKI
-RAIHAN-

Telah Lama Cinta Terbiar
Dari Cinta Yang Suci
Telah Lama Cinta Tersasar
Dari Cinta Hakiki

Kerna Sekian Lamanya
Manusia Dibuai Cinta Nafsu
Kita Sering Menyangka
Cinta Manusia Itu Yang Sejati

Namun Lupakah Kita
Cinta Nafsu Selalu Mengecewakan
Sering Berubah Tidak Menentu
Seperti Pantai Dipukul Ombak

Cintakan Allah Cinta Sebenarnya
Itulah Cinta Yang Sejati
Kasihlah Sesama Manusia
Kerna Cinta Yang Hakiki
Hanya Untuk Tuhan Yang Esa

Cintakan Allah Tiada Kecewa
Engkaukan Tenang Di Waktu Susah
Kembalilah Kepada Tuhan
Dia Kan Tetap Menanti

Kehadiran HambaNya
Yang Sebenar Pasrah
Cinta Kasih SayangNya Tidak Bertepi

Ros & Coklat: Bermulanya Jalinan Kasih

ROS & COKLAT:
bermulanya jalinan kasih

Alhamdulillah...semalam, 12 Feb. 09, telah berlangsung dengan jayanya Forum Mengenal Cinta: Ros & Coklat. Forum tersebut sebenarnya bersempena dengan Hari Kekasih yang yang akan 'diraikan' oleh segolongan para remaja terutamanya. Seperti sedia maklum, ahli panelnya terdiri daripada Saudara Aizat Saleh merangkap Biro Kerohanian & Pembangunan Insan, serta Saudara Hafizzuddin Baharin merangkap Presiden Kolej 1. Majlis dikendalikan oleh Saudara Fayyad. Mari kita imbas apa yang telah dibincangkan mengenai Ros & Coklat.



Soalan (S): Alhamdulillah, kita masih diberi kesempatan oleh Allah untuk bersama-sama berkumpul di dalam majlis ilmu. Satu majlis forum, yang saya kira mungkin ada yang tertanya-tanya. Mengapa Ros & Coklat yang menjadi pilihan. Sebentar nanti saya akan ceritakan. Terus kepada soalan sebagai muqaddimah forum kita pada malam ini.

Apa yang kita lihat pada hari ini, remaja terutamanya beriya2 menyambut Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Valentine Day. Sebenarnya, boleh saudara ceritakan, daripada mana datangnya Valentine Day tersebut ?

Aizat: Sebenarnya, jika dilihat kepada sejarahnya, terdapat banyak versi sejarah sambutan Valentine Day. Ini merupakan antara versi yang popular. Dahulukala, Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru, Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.

Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit. Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M. Claudius II beranggapan bahawa anggota tentera yang muda dan masih bujang adalah lebih tabah dan kuat ketika berada di medan peperangan berbanding dengan mereka yang telah berkahwin. Justeru, Cladius II menghalang para pemuda dari berkahwin.Namun demikian St.Valentine menentangnya dengan keras dan beliau telah melakukan upacara pernikahan terhadap para pemuda-pemuda Rom secara sulit.

Aktiviti St. Valentine ini akhirnya dapat diketahui oleh Cladius II lalu beliau mengarahkan St. Valentine ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M. Maka orang-orang Kristian mengambil sempena 14 Februari itu untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka St. Valentine. Maknanya apa? Mereka diluar sana menyambut perayaan memperingati kekasih, siapa sebenarnya yang mereka peringati ?

S : Terima kasih kepada Saudara Aizat, kupasan yang cukup menarik. Mengenai tajuk Ros & Coklat, sebenarnya ia dipilih kerana kebiasannya hadiah bunga ros akan diberikan kepada pasangan masing-masing. Manakala coklat pula, juga sebagai hadiah, tetapi dalam bentuk love. Maka, dapat disimpulkan, dua bende tersebut, iaitu ros dan coklat berkait rapat dengan sambutan hari kekasih.

Baiklah, pada hari ini, remaja-remaja di luar sana tidak akan ketinggalan daripada meraikan hari tersebut. Pada pendapat saudara, mengapa ia menjadi ikutan ? atau menjadi sebagai trend remaja pada hari ini ?

Hafiz : Terima kasih. Berbicara mengenai mengapa ia menjadi ikutan. Perkara pertama yang perlu kita lihat ialah dengan siapa mereka bergaul ? Siapa rakan-rakan mereka? Berapa ramai pula rakan-rakan kita yang boleh membimbing kita ke jalan yang betul ? Remaja sememangnya terlalu mudah terpengaruh dengan perkara-perkara sedemikian. Tetapi ramai yang tidak sedar, cinta yang berteraskan ros dan coklat ini memang tidak akan ke mana. Tambahan pula, ketika bercinta, mereka ini melakukan perkara yang tidak sedap mata memandang. Naik motor sama-sama. Berpegangan tangan.

Hal ini sudah tentu menyebabkan masyarakat yang melihat melabelkan mereka dengan perkara yang negatif. Keduanya, saya ingin menyentuh mengenai pembaziran. Islam sendiri melarang kita daripada melakukan pembaziran. Dalam surah Al-Israk: 27, Allah berfirman yang bermaksud "Sesungguhnya, membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat mungkar kepada tuhannya" Tetapi jika kita lihat, pada sambutan hari kekasih, pasangan akan membeli bunga ros yang bukanlah murah harganya, serta hadiah-hadiah sampingan yang lain, yang sudah tentu mahal harganya. Adalah lebih baik wang tersebut disimpan dan digunakan untuk kepentingan lain yang lebih penting. Diakhirnya, ingin saya tegaskan, ros dan coklat, bukanlah penentu kepada cinta anda. Fikir-fikirkan...

(S) : Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan: “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam”. Boleh saudara ulas dengan lebih lanjut ?

Aizat : Sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan al-Sunnah serta disepakati oleh generasi awal umat Islam hari kebesaran bagi umat Islam yang mana disyariatkan bagi kita menyambutnya hanyalah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah.

Lalu baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri”. (riwayat al-Nasaai). Oleh itu hendaklah umat Islam membataskan diri dengan menyambut hari-hari perayaan yang diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya khusus untuk umat Islam. Setelah berakhir zaman salafussoleh iaitu tiga kurun terbaik bagi umat Islam, pelbagai hari perayaan telah ditambah ke dalam kalendar umat Islam seperti Maulid al-Rasul, Israk Mikraj, Maal Hijrah, Nuzul al-Quran dan lain-lain.

Namun demikian apa yang mendukacitakan adalah umat Islam pada zaman kini telah mula merayakan hari-hari perayaan yang langsung tidak berkaitan dengan umat Islam. Malah ia berasal dari budaya serta agama golongan yang ingkar kepada perintah Allah S.W.T. seperti sambutan Tahun Baru Masihi, Hari Halloween dan juga Hari Valentine yang sedang kita perbincangkan ini. Terdapat larangan daripada baginda s.a.w. untuk meniru budaya orang bukan Islam dan bagi mereka yang meniru budaya seperti ini ditakuti mereka akan tergolong bersama dalam golongan tersebut.

Sabda baginda: ”Barang siapa menyerupai satu kaum, maka dia termasuk golongan mereka”. (riwayat Imam Abu Dawud). Maka dapat disimpulkan disini, kita sepatutnya bangga dengan budaya Islam yang kita anuti dan amalkan ini. Tidak perlu kita mengikut budaya dan amalan agama lain. Islam sememangnya agama yang lengkap dan sempurna. Sebagaimana kata-kata Saidina Umar, "kita satu kaum yang dimuliakan dengan Islam, mengapa pula kita mencari kehidupan yang selain daripada Islam?"

(S) : Pada pendapat saudara sendiri, apakah kesan menyambut hari valentin dalam kalangan mahasiswa terutamanya ?

Hafiz : Kita imbas semula, di awal penciptaan manusia, setelah Nabi Adam diciptakan, Adam merasakan dirinya kesunyian. Setelah Nabi Adam as bangun daripada tidur, didapati ada seorang perempuan di sisinya. Ketika Adam ingin menyentuhnya, terdengar satu suara yang menghalang Nabi Adam daripada menyentuh perempuan tersebut selagi tidak bernikah. Dapat kita fahami, perasaan ingin berkasih sayang itu memang ada dalam diri kita sejak daripada awal penciptaan manusia.

Tetapi harus diingat, apabila perasaan tersebut tidak dapat dikawal, maka terjadilah apa yang dapat kita saksikan sekarang. Pelbagai masalah sosial yang telah pun berlaku. Firman Allah dalam Surah An-Nur, "wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji pula adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik. Mereka itu bersih daripada apa yang dituduhkan oleh mereka. Bagi mereka keampunan dan rezeki yang mulia."

Kita dapat lihat, janji Allah itu pasti. Tetapi janji manusia? Tiada satu pun yang pasti. Memang kita mudah untuk melafaz janji, setiap masa kita mengingati kekasih kita. Tetapi bagaimana dengan ingatan kita kepada Allah dan Rasulullah ? Di saat kewafatan baginda, baginda menyebut ummati...ummati....ummati, tetapi kita ? Namun, seperti yang kita sedia maklum, cinta yang hakiki itu ialah cinta kepada Allah. Cinta yang pasti dan hakiki.

Kesimpulan : Harus kita ingat bahawa golongan yang memusuhi Islam, akan sentiasa berusaha menanamkan benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam supaya mereka jauh dari jalan yang lurus lagi diredai Allah SWT.

Firman-Nya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar). (al-Baqarah: 120)


Demikianlah tamatnya forum tersebut tepat pada jam 9 malam. Sedikit perkongsian pendapat daripada saya sendiri. Secara keseluruhannya, forum tersebut berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah yang berlaku. Jumlah hadirin, muslimin dan muslimat juga memang agak memberangsangkan, ditambah pula dengan kehadiran jemaah daripada kolej kediaman yang lain. Tahniah diucapkan kepada semua yang telah menjayakan forum tersebut. Moga majlis-majlis ilmu yang sedemikian dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang. Sekian....

    ....LOGO RASMI....

    ....LOGO RASMI....

    SAF KEPIMPINAN

    Sampaikan Salam


    ShoutMix chat widget

    Penyelia Penasihat

    Penyelia Penasihat
    En Mat Zaid Bin Hussein

    Pengerusi

    Pengerusi
    Suhail Anwar B
    Mohamed Nor

    Timb. Pengerusi

    Timb. Pengerusi
    Mohd Hasyim Harun

    Setiausaha

    Setiausaha
    Tunku Aisyah Tunku Mat

    Bendahari

    Bendahari
    Nursyahida Abd Rashid

    PP Pengisian & Pengimarahan

    PP Pengisian & Pengimarahan
    Awang Abdullah
    Abdul Razak

    TPP Pengisian & Pengimarahan

    TPP Pengisian & Pengimarahan
    Nurul Izyan Zainuddin

    PP Publisiti & Informasi

    PP Publisiti & Informasi
    Luqman Hakim
    Muhd Fadzir

    TPP Publisiti & Informasi

    TPP Publisiti & Informasi
    Nurul Syahidah Roslam

    PP Dana & Kebajikan

    PP Dana & Kebajikan
    Ahmad Azhari Nordin

    TPP Dana & Kebajikan

    TPP Dana & Kebajikan
    Adibah Dzulkifli

    PP Domestik & Teknikal

    PP Domestik & Teknikal
    Ahmad Fadhlul Hadi Abdul Hamid

    TPP Domestik & Teknikal

    TPP Domestik & Teknikal
    Liyana Syazwani Abdul Razak

    PP Pengurusan Surau

    PP Pengurusan Surau
    Mohd Syahir Bin Lokman

    TPP Pengurusan Surau

    TPP Pengurusan Surau
    Norsaima Ismail


    Followers