HAKIKAT TAUHID

OBJEKTIF

1. Ahli usrah memahami pengertian dan konsep tauhid.

2. Ahli usrah dapat membezakan ketiga-tiga tauhid serta memahami pertautan antaranya dan tahu mengaitkannya dengan kehidupan.

3. Ahli usrah memahami konsep syahadah.

4. Ahli usrah memahami kewajipan diri sebagai seorang yang telah mengucapkan syahadah.

KANDUNGAN

1. Pengertian Tauhid

2. Pembahagian Tauhid:

* Tauhid Rububiyyah

* Tauhid Uluhiyyah

* Tauhid Asma was Sifaat

3. Pertautan ketiga-tiga jenis Tauhid

4. Pengertian Syahadah

5. Tuntutan Syahadah:

* Membenarkan segala perkara yang datangnya dari Allah dan RasulNya

* Taat kepada Allah dan RasulNya

* Melakukan amar maruf dan nahi mungkar

* Memberi wala kepada orang Mukmin dan menolak orang Kafir

* Melaksanakan hokum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya

PENGERTIAN TAUHID

Perkataan Tauhid berasal dari perkataan Arab (wahada) yang bereti mengesakan. Dari segi istilah bermaksud beritiqad dan mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala itu esa dan tunggal, tiada syirik atau sekutu baginya. Fahaman secara praktikalnya tauhid ialah suatu pegangan hidup yang mempercayai bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Tuhan yang Maha Esa dan tidak ada sekutu baginya atauupun yang menyerupaiNya. Firman Allah subhaanahu wa taaala:

Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku ialah Allah yang Maha Esa, Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon segala hajat. Ia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tiada sesiapa yang setara denganNya.(Al-Ikhlas:1-4)

PEMBAHAGIAN TAUHID

Tauhid terbahagi kepada tiga:

1. Tauhid Rububiyyah

2. Tauhid Uluhiyyah

3. Tauhid Asma was Sifaat

* Tauhid Rububiyyah

Tauhid rububiyyah bererti mempercayai Allah sebagai Rabb atau Pencipta dan Penguasa terhadap sesuatu. Allahlah Pencipta sekalian makhluk dan alam ini, Pemilik, Pentadbir dan Pemberi segala-galanya. Allah yang menghidukan dan mematikan sesuatu, Dia yang berkuasa memberi manfaat dan mudharat terhadap sesuatu dan tiada siapa yang berhak dan berkuasa untuk melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan tanpa izinNya.

Firman Allah subhaanahu wa taaala:

Jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah mengkehendaki kebaikan bagimu, maka tiada siapa yang dapat menolak kurniaanNya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambaNya dan Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

* Tauhid Uluhiyyah

Tauhid Uluhiyyah juga dikenali sebagai Tauhid Ibadah. Tauhid Uluhiyyah ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah subhaanahu wa taaala shaja yang berhak disembah dan tiada sekutu di dalam penyembahanNya. Dia sahaja yang berhak disembah, ditaati dan dikasihi, kepadaNya tempat bertawakkal, tempat berserah, tempat menaruh harapan, permohonan dan berdoa. Firman Allah subhaanahu wa taaala:

Hanya Engkau sahajalah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Engaku sahajalah yang kami memohan pertolongan.(Al-Faatehah:5)

Inilah konsep ibadah atau pengabdian sebenarnya yang membezakan antara mukmin dengan kafir iaitu setiap perbuatan lahiriyyah dan batiniyyah dilakukan semata-mata kerana Allah subhaanahu wa taaala dan untuk mendapatkan keredhaanNya. Ini bererti meletakkan seluruh perbuatan, percakapan dan tingkah laku di atas perintah dan petunjuk Allah semata-mata.

* Tauhid Asma was Sifaa

Tauhid Asma was Sifat ialah mengitiqad dan beriman bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan dan Maha suci dari segala sifat-sifat kekurangan dan kelemahan dan Allah subhaanahu wa taaala mempunyai nama-nama yang layak dengan kebesaranNya. Segala nama dan sifat Allah itu tidak sama dengan nama dan sifat makhluk. Walaupun nama-nama dan sifat-sifat tersebut sama pada sebutannya dengan nama dan sifat makhluk, tetapi hakikatnya ia tidak menyerupai nama dan sifat makhluk. Firman Allah subhaanhu wa taaala:

Tiada suatu pun yang sebanding denganNya (dengan zatNya, namaNya dan sifatNya), dan Dialah Yang Mendengar Lagi Maha Melihat.

Di dalam ayat lain Allah subhaanahu wa taaala berfirman:

Dan bagi Allah itu, nama-nama yang baik. Serulah dan berdoalah kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya, mereka akan mendapat balasan akan apa yang mereka kerjakan.

PERTAUTAN KETIGA-TIGA JENIS TAUHID

Seseorang Muslim mestilah mentauhidkan Allah subhaanahu wa taaala pada ketiga-tiga jenis tauhid ini. Jika tidak, dia tidak dianggap sebagai seorang Mukmin. Seseorang Mukmin wajib beritiqad bahawa Allah subhaanahu wa taaala adalah Rabb bagi segala perkara dan tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Allah. Dia juga wajib mengaku dan beriman bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan dan mempunyai nama-nama yang layak denganNya. Setelah seseorang beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini maka barulah dia dikatakan telah beriman dengan Allah.

Tauhid Rububiyyah diiktiiraf dan diakui oleh semua manusia sama ada seorang Muslim atau kafir. Oleh itu, kalau seseorang hanya mengakui dan beriman kepada tauhid ini sahaja tanpa disetai oleh tauhid-tauhid lain, maka dia belum boleh dianggap sebagai seorang Muslim. Fitrah Insaniyyah sudah sedia mengenali dan mengakui rububiyyah Allah subhaanahu wa taaala. Tetapi tauhid ini tidak boleh diingkari walaupun ia diakui oleh semua manusia. Firman Allah subhaanu wa taaala:

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (orang musyrik) itu: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab: Allah. Ucapkanlah (wahai Muhammad): Alhamdulillah (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka demikian tidak mengingkari Allah) bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik)

Segala pengakuan manusia terbukti melalui ibadatnya yang terkandung dalam tauhid uluhiyyah. Apabila seseorang beriman dengan tauhid uluhiyyah, maka secara tidak langsung dia beriman dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Ini kerana, tauhid uluhiyyah terkandung di bawah tauhid-tauhid lain dan sebaliknya. Seseorang yang beriman dengan tauhid rububiyyah sahaja tidak semestinya beriman dengan uluhiyyah Allah. Ada dari mereka yang beriman dengan rububiyyah Allah tetapi menyembah patung, berhala, bulan dan seumpamanya tetapi tidak mentaati Allah.

Begitu juga seseorang yang beriman dengan tauhid asma was sifat kadang-kadang kufur dengan uluhiyyah. Tetapi jika dia beriman dengan tauhid uluhiyyah dan menyembah Allah subhaanahu wa taaala, dia juga beriman dengan dengan tauhid rububiyyah dan tauhid asma was sifat. Tauhid uluhiyyah berasaskan ucapan (Laa Ilaaha Illa Allah). Manusia dijadikan untuk menyembah Allah. Inilah intisari tauhid uluhiyyah.

Jadi untuk menjadi seorang Mukmin yang sejati, seseorang itu wajib beriman dengan ketiga-tiga jenis tauhid ini serentak tanpa mengasingkan di antara satu sama lain.

PENGERTIAN SYAHADAH

Pengakuan dan pengiktirafan tauhid ini tidak akan terhasil melainkan dengan mengucap dan melafazkan dua kalimah syahadah: (Ash-haduallaailaahaillallah,waash-haduannamuhammadarrasuulullah) yang bermaksud: Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah sebenar-benarnya melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam itu persuruh Allah.

Syahadah bererti pengetahuan, penerangan, pengkhabaran, dan pernyataan. Orang yang bersyahadah dipanggil bersaksi kerana dia mengkhabarkan dan memberitahu apa yang diketahui olehnya. Kalimah syahadah juga mengandungi pengertian ikrar , iktiraf dan itiqad iaitu pengakuan, pengiktirafan dan kepercayaan. Seseorang yang bersyahadah memang mempercayaai kebenaran apa yang dikhabarkannya. Orang yang bersyahadah ini hendaklah sedar bahawa segala pengajaran dan peraturan yang disampaikan melalui Al-Quran dan Hadeeth adalah benar dan betul. Seseorang yang bersyahadah hendaklah tunduk dan patuh kepada kehendak syahadah dan tuntutannya kerana syahadah itu menuntut individu melaksanakan tuntutan-tuntutannya

TUNTUTAN-TUNTUTAN SYAHADAH

Syahadah yang diucapkan hasil dari kesedaran dan keikhlasan melahirkan tauhid yang sempurna yang berfungsi untuk mendesak orang yang mengucapkannya supaya melaksanakan segala tuntutan syahadah tersebut.

Di antara tuntutan syahadah ialah:

* Membenarkan segala yang datang daripada Allah dan Rasulnya

Seseorang Mukmin wajib percaya tanpa ragu dan syak segala yang datang daripada Allah dan RasulNya yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadeeth. Seterusnya mereka percaya bahawa segala perkara yng bukan dari Allah dan RasulNya yang bercanggah dengan Islam adalah palsu.

* Melaksanakan hukum-hukum dari kitab Allah dan RasulNya

Semua hukum dan peraturan Allah dan RasulNya yang termaktub di dalam Al-Quran dan Hadeeth mesti dilaksanakan dalam semua urusan hidup, sam ada urusan ibadat, politik, ekonomi, sosial, dan sebagainya.

Firman Allah subhaanahu wa taaala:

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad) mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim di dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka tidak pula merasa sesuatu di dalam hati mereka keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Dapat difahami dari ayat ini bahawa orang-orang yang beriman rela menghukum dengan hukum Allah dan RasulNya dan menerima hukum itu dengan hati yang terbuka dan ikhlas. Tiada perasaan tidak puas hati atau tidak bersetuju dengan hukum tersebut dan jauh sekali dari menukarkan hukum-hukum atau undang-undang Allah dengan undang-undang ciptaan makhluk. Oleh sebab itu, melaksanakan hukum-hukum dan undang-undang Allah merupakan suatu kewajipan dan tanggungjawab yang besar yang wajib dilaksanakan dalam kehidupan seharian.

RUJUKAN

1. Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah

2. ILHAM Bahan Kendiri PJJ

3. Asas Kefahaman Islam Pusat Kajian Strategik

SOALAN-SOALAN PERBINCANGAN

1. Apakah pengertian tauhid?

2. Berdasarkan pengertian tauhid, jelaskan perbezaan di antara ketiga-tiga tauhid juga kaitan antaranya. Sila kaitkan tauhid-tauhid ini dengan kehidupan anda.

3. Apakah yang dimaksudkan dengan syahadah?

4. Apabila seseorang telah mengucapkan syahadah, apakah tuntutan-tuntutan dan kewajipan-kewajipan syahadah yang wajib dilaksanakannya?

AQIDAH DAN TUNTUTANNYA


OBJEKTIF

1. Ahli usrah memehami pengertian aqidah Islamiyyah.

2. Ahli usrah mengetahui bagaimana bentuk aqidah Islamiyyah dalam diri dan unsure-unsur pembentukan aqidah.

KANDUNGAN

1. Pengertian Aqidah

2. Unsur-unsur Pembentukan Aqidah

3. Aqidah Pembentuk Peribadi

4. Ciri-ciri Aqidah

5. Keistimewaan Aqidah Islamiyyah

6. Perbezaan Aqidah dan Ideologi

PENGERTIAN AQIDAH

Aqidah berasal daripada perkataan Arab (Aqada) yang bermaksud ikatan atau simpulan. Biasanya ikatan atau simpulan berlaku pada benda yang dapat dirasai seperti tali. Tetapi perkataan ini juga digunakan pada suatu yang manawi. Dari maksud lahiriah perkataan aqidah bermaksud ikatan atau simpulan manawi yang terkhusus di dalam kepercayaan. Aqidah boleh difahami sebagai kepercayaan yang terikat kuat dan tersimpul erat dalam hati terhadap sesuatu perkara yang benar dan hak sehingga tidak dapat mungkin tercerai atau terurai.

Fahaman praktikalnya aqidah merupakan perjanjian keimanan yang kuat di antara manusia dengan Penciptanya. Aqidah Islamiyyah sahajalah yang benar dan yang betul, manakala yang lainnya adalah palsu dan batil. Konsep aqidah yang sebenarnya seperti yang dijelaskan inilah yang diistilahkan Islam sebagai Iman.

UNSUR-UNSUR PEMBENTUKAN AQIDAH

Sarjana Islam berpendapat bahawa unsure-unsur pembentukan aqidah terdiri daripada :

1. Unsur aqal atau pemikiran.

2. Unsur iradah atau pemilihan.

3. Unsur wujdan atau perasaan

Ketiga-tiga unsur ini saling bertalian dan kuat. Kesempurnaan aqidah adalah daripada keutuhan dan keteguhan simpulan dalam jiwa. Keutuhan dan keteguhannya pula tidak wujud melainkan ia terbentuk dari jalinan yang erat antara ketiga-tiga aspek penting ini. Yang juga merupakan tiga daya kekuatan dalam diri manusia. Melalui proses ketiga-tiga unsure tadi terjalin dan searah jalan tanpa pertentangan; iaitu pembuktian dan kelojikan aqal; kerelaan hati serta kehangatan peraan dapat melahirkan aqidah yang sempurna yang membentuk kesempurnaan peribadi atau syakhsiyyahnya dan menjadi kompas pengarah atau pembentukan corak dan warna hidupnya sama ada dalam lingkungan individu, mahupun dalam lingkungan keluarga, atau pun dalam lingkungan masyrakat yang lebih besar.

Hakikatnya cirri-ciri aqidah tidak memadai hanya berada di atas permukaan aqal atau intelek, demikian juga tidak cukup berada di paras penerimaan dan pengakuan sahaja. Tetapi perlu mengisi dan menyerapi setiap ruang diri dan jiwanya sehingga sebati dengan perasaan dan sentiment yang sihat.

AQIDAH PEMBENTUK PERIBADI

Aqidah Islamiyyah dapat membentuk nilai akhlak dan peribadi yang akan mencorakkan amalan dan perbuatan muslim. Sebagaimana acuan dapat membenuk dan mencorakkan kandungannya, maka demikianlah halnya dengan akhlak . ia dapat membentuk individu yang mengambilnya menepati hakikat dan tabiat keinsanan yang tulen seperti kehendak Allah. Jelasnya, akhlak dapat membentuk sifat-sifat naluri Muslim, aqal fikirannya, iradahnya, dan perasaannya.

Aqidah Islam adalah bersumberkan ketuhanan atau merupakan aqidah Rabbaniyyah yang tetap, sempurna dan menyeluruh. Hanya aqidah yang kukuh sahaja dapat membentuk manusia yang kukuh dan teguh. Kekukuhan dan keteguhan aqidah inilah yang menjadi sumber kekuatan Islam. Inilah hakikah kekuatan umat Islam; kekuatan jiwa dan rohani serta peribadinya menjadi asas kekuatan jasmaninya.

CIRI-CIRI AQIDAH

Aqidah Islam mengandungi cirri-ciri atau rukun-rukun asas. Cirri-ciri tersebut dapat disimpulkan kepada tiga:

1. Marifatullah (mengenali Allah)

Mengenali dan mengetahui serta beriman dengan Allah subhaanahu wa taaala, nama-nama-Nya yang mulia serta sifat-sifatnya yang suci dari segala kekurangan. Antara cara untuk kita meningkatkan keimanan terhadap Allah ialah dengan memerhatikan bukti-buki yang ada di alam ini.

2. Marifatur Risaalah(mengenali kerasulan)

Mengenali dan mempercayai rasul-rasul yang dipilih oleh Allah untuk menerima wahyu dan menyampaikan syariatnya serta menjadi pembimbing dan memimpin seluruh makhluk menuju kepada jalan yang haq dan agama Allah yang sebenar, iaitu agama Islam.

3. Marifatul Batsi (mengenali hari kebangkitan)

Mengetahui dan mempercayai tentang hari kebangkitan iaitu hari di mana manusia dibangunkan dari kubur masing-masing (dihidupkan sesudah mati), dikumpulkan dan dihisab segala amalan sama ada yang baik atau yang buruk untuk diberikan balasan pahala atau siksaan dan di sana juga adanya sirathol Mustaqim, syurga dan neraka.

KEISTIMEWAAN AQIDAH ISLAMIYYAH

Aqidah itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri yang mana ia membuktikan kesucian dan keluhurannya:

1. Aqidah yang menyeluruh

Aqidah Islam adalaj aqidah yang menyeluruh merangkumi kedua-dua sumber kejadian manusia; rohani dan jasmani. Ia tidak menerima perubahan atau pengembangan, tidak ada permulaan dan akhiran, dan mengakui persambungan atau kelangsungan kehidupan selepas mati iaitu kehidupan akhirat.

2. Aqidah yang kekal

Aqidah Islam kekal kerana tidak berubah disebabkan perubahan keadaan atau zaman. Ini berbeza dengan ideology yang berasaskan dasar yang lemah dan luntur. Contohnya ideology yang berasaskan kebendaan dan perkauman yang menjadikan kebendaan dan perkauman itu sebagai asas dan dasar kehidupan.

3. Aqidah yang sesuai sepanjang masa

Aqidah Islam bersifat kekal dan sesuai untuk sepanjang masa.

4. Aqidah Islam yang praktikal.

Aqidah Islam bukan hanya bersifat aqliyyah (yang dapat diterima oleh aqal), tetapi pada waktu yang sama bersifat nafsiyyah (kejiwaan) dan amaliyyah (praktikal). Keimanan kepada Allah dan hari akhirat bukan hanya suatu teori benar yang boleh dibincangkan tetapi bertapak dan sebati di dalam hati. Aqidah yang sedemikian akan menjadi tenaga penggerak untuk membebaskan umat manusia.

5. Aqidah Islam penyusun nilai hidup

PERBEZAAN AQIDAH DAN IEOLOGI

Aqidah dan ideology adalah kepercayaan atau pun fahaman yang amat berbeza. Ideology merupakan kepercayaan dan dasar hidup yang tidak bersumberkan Al-Quran dan Hadeeth dan meninggalkan kesan yang merbahaya kepada manusia sama ada disedaria atau tidak umat Islam perlu kenal dan tahu perbezaan antara kedua-duanya agar tidak terjebak kekancah yang tidak diredhai oleh Allah subhaanahu wa taaala.

Aqidah Islamiyyah yang datang dari Allah pastinya sempurna. Allah sebagai pencipta makhluk sudah tentu lebih mengetahui apa yang terbaik untuk makhluk ciptaanNya. Sebaliknya ideology ciptaan manusia yang banyak kekurangan sudah pasti dilingkungi oleh banyak kelemahan. Aqidah Islamiyyah sesuai bagi setiap masa dan tempat kerana ia bersandarkankepada asas yang tepat iaitu Al-Quran dan Hadeeth. Ia tidak berubah walau apapun yang melanda dan tidak berubah kerana peredaran zaman. Sementara itu ideology mudah berubah dan bertukar mengikut hawa nafsu manusia itu sendiri. Sebagai contonya ideology nasionalisme kepercayaan tidak sesuai untuk pegangan hidup seluruh umat manusia.

Ideology juga tidak merangkumi seluuh aspek kehidupan manusia (politik, ekonomi, pendidikan, akhlak dan lain-lain). Contohnya komunisme dan kapitalisme hanya menjurus kepada bidang ekonomi.

Ideology tidak mampu menjadi menjadi penyelamat umat berbanding dengan aqidah Islam. Terdapat ideology yang menjaga kepentingan pemerintah dan tasub perkauman sehingga berlakunya penindasan kepada sesama manusia serta terbukti dalam sejarah berlakunya pergaduhan di kalangan umat manusia.

BAHAN RUJUKAN

1. Pengantar Aqidah Mohd Sulaiman Bin Hj. Yasin

2. Konsep-konsep Umum Islam Abu Urwah

3. Asas Kefahaman Islam, Pusat Kajian Strategik

SOALAN PERBINCANGAN

1. Apakah yang dimaksudkan dengan aqidah Islamiyyah?

2. Bagaimanakah untuk membentuk aqidah Islamiyyah dalam diri?

PENGENALAN USRAH



MAKSUD USRAH

Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggidi samping mengukuhkan ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwwah antara sesame ahli boleh ditingkatkan iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu kita hendaklah memandang berat perkara ini dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

RUKUN USRAH

Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu berkenalan, bersefahaman, dan berimbangan. Kita hendaklah memngambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

  • Berkenalan (taaruf)

Rukun usrah yang pertama ialah taaruf antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan dan berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwwah sejati. Elakkanlah perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah Subhaanahu waTaaala dan hadith rasulullah sallallahu alaihi wasallam. Jadikan firma Allah Subhaanahu wa Taaala sebagai perkara yang wajib diutamakan.

Antara firman Allah dan hadith Rasulullah sallallahu alaihi wasallam ialah:

Orang-orang Mukmin itu bersaudara-mara.

(Al-Hujurat; 26-10)

Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah belah.

(Ali-Imran; 3:103)

Orang Mukmin bagi orang Mukmin itu laksana bangunanyang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain.

Orang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain; ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya.

Perbandingan orang-orang Mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksan badan yang satu.

Bersefahaman (tafahum)

Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNya.periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dengan arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.

Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat daripadanya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu walau sejarak sehelai rambut sekalipun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikanlah kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya untuk membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendakinya.

Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak sehelai rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting di dalam agama Islam. Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: Agama itu nasihat. Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadith ini mudah-mudahan Allah memberi rahmatNya kepada kita.

Berseimbangan (takaful)

Rukun usrah yang ketiga ini bermaksud memelihara nasib sesame sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesame sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang bermaksud: Kalau seseorang daripada kamu berjalan keran hendak menolong saudaranya adalah lebih baik baginya daripada ia beriktikaf sebulan di dalam masjidku.

Sabda Baginda lagi: Sesiapa yang memberi kegembiraan kepada keluarga sesebuah rumah orang Muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan n syurga.

PERINGATAN

Dua perkara yang perlu dititik beratkan ialah kehadiran dan pengisian tabung usrah. Setiap anggota usrah hendaklah menghadiri setiap pertemuan yang telah dijadualkan walau bagaimana uzur sekalipun. Setiap anggota usrah hendaklah menunaikan kewajipannya untuk tabung usrah di cawangan usrahnya. Apabila dapat menunaikan kewajipan yang bersifat perseorangan, kemasyarakatan, dan kewanagn seperti di atas, maka rukun usrah akan terlaksana dengan jayanya. Sebaliknya, jika dicuaikan, maka segala rukun dan peraturan itu akan beransur-ansur mundur dan kahirnya terus mati. Dengan matinya peraturan usrah yang baik ini, gerakan dakwah akan rugi dengan serugi-ruginya sedangkan gerakan dakwah sangat diperlukan dan menjadi tempat harapan bagi ummat Islam seluruhnya.

KANDUNGAN USRAH

Apakah yang perlu dilakukan dalam setiap pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:


Membentangkan kesulitan

Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Bagi perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian daapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya mempercayai dan tali hubungan ukhuwwah dapat diperkukuhkan.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda yang bermkasud, Orang Mukmin itu cermin bagi saudaranya. Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam lagi yang bermaksud, Perbandingan orang mukmin dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal, turut menangguhkan seluruh anggota badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

Bermuzakarah

Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu adalah haram menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas span santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai buah fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau lebih sempat terlebih dahulu mengemukakan kepada pucuk pimpinan.

Jangan buat keputusan dengan cara terburu-buru. Allah mencela ummat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firmanNya yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya. Setelah Allah Subhaanahu wa Taaala mencela mereka yang berperangai begitu maka Allah tunjukkan pula apa-apa yang mesti dilakukan apabila tersua dengan suasan seperti itu dengan firmaNya yang bermaksud: Kalaulah mereka kembali kepada Rasul dan pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya

Kajian buku

Adakan studi (penilitian) terhadap sebuah kitab yang bermutu. Jelmakan studi dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit, menolong orang-orang yang berhajat (walaupun sekadar dengan kata0kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang bebanan anggota yang terputus rezeki. Semua itu dapat mengukuhkan algi tali ukhuwwah dan melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

Aktiviti sokongan

Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua kali), solat subuh berjamaah dan qiyamullail.

ENAM PEGANGAN

Landasan Nabi-nabi yang telah lalu ialah orang-orang yang menyampaikan risalah Allah, serta mereka takut melanggar perintahNya dan mereka tidak takut kepada sesiapa melainkan Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (akan segala apa yang dilakukan oleh makhluk-makhluk untuk membalasnya.)

(Al-Ahzab; 27:39)

Lihat juga As-Saba; 34:46-50

* Agama hanya dapat dirasakan oleh sesiapa yang menegakkannya dalam dirinya.

* Bahagia dan saadah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran dan keadilan.

* Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.

* Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan dirinya kepada Allah Subhaanahu wa Taaala.

* Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keyaqinan perjuangan.

* Belajar memanfaatkan diri guna kepentingan cita dan agama.

    ....LOGO RASMI....

    ....LOGO RASMI....

    SAF KEPIMPINAN

    Sampaikan Salam


    ShoutMix chat widget

    Penyelia Penasihat

    Penyelia Penasihat
    En Mat Zaid Bin Hussein

    Pengerusi

    Pengerusi
    Suhail Anwar B
    Mohamed Nor

    Timb. Pengerusi

    Timb. Pengerusi
    Mohd Hasyim Harun

    Setiausaha

    Setiausaha
    Tunku Aisyah Tunku Mat

    Bendahari

    Bendahari
    Nursyahida Abd Rashid

    PP Pengisian & Pengimarahan

    PP Pengisian & Pengimarahan
    Awang Abdullah
    Abdul Razak

    TPP Pengisian & Pengimarahan

    TPP Pengisian & Pengimarahan
    Nurul Izyan Zainuddin

    PP Publisiti & Informasi

    PP Publisiti & Informasi
    Luqman Hakim
    Muhd Fadzir

    TPP Publisiti & Informasi

    TPP Publisiti & Informasi
    Nurul Syahidah Roslam

    PP Dana & Kebajikan

    PP Dana & Kebajikan
    Ahmad Azhari Nordin

    TPP Dana & Kebajikan

    TPP Dana & Kebajikan
    Adibah Dzulkifli

    PP Domestik & Teknikal

    PP Domestik & Teknikal
    Ahmad Fadhlul Hadi Abdul Hamid

    TPP Domestik & Teknikal

    TPP Domestik & Teknikal
    Liyana Syazwani Abdul Razak

    PP Pengurusan Surau

    PP Pengurusan Surau
    Mohd Syahir Bin Lokman

    TPP Pengurusan Surau

    TPP Pengurusan Surau
    Norsaima Ismail

    Followers