Remaja & Zaman Perubahan

Remaja dan perubahan zaman
Oleh NURUL IZZAH SIDEK (fikrahremaja@yahoo.com)


"ZAMAN ini dah banyak yang berubah, kehidupan tak macam dulu lagi. Makin banyak pembangunan dan kemudahan yang kita kecapi. Anak-anak muda zaman sekarang, tak sama dengan kita zaman muda-muda dulu. Kita dahulu hanya pergi sekolah, kemudian balik bantu ibu bapa bersawah, menjala. Segala-galanya dibuat sendiri. Pendek kata pandai berdikari, maklumlah kehidupan tak semudah sekarang ni, semuanya di hujung jari," ujar Pak Ali pada anak saudaranya, Din.

"Tentulah Pak Ali. Zaman ini zaman sains dan teknologi. Manusia kan perlukan perubahan supaya kehidupan lebih baik. Kalau tak kita akan ketinggalan dan mundur."

"Itu pakcik setuju. Sains dan teknologi menjadikan kehidupan manusia lebih baik. Tapi, perubahan zaman tak sepatutnya merubah keperibadian remaja. Remaja hari ini menjadi lebih akrab dengan telefon bimbit dan komputer daripada keluarga sendiri. Lebih kenal dan hafal siaran televisyen yang pelbagai. Lalu lebih banyak terdedah kepada suasana yang kurang elok," keluh Pak Ali pula.

"Itulah cabaran remaja seperti saya sekarang, Pak Ali. Perubahan bukan sesuatu yang kita boleh tolak. Tapi, apa yang penting adalah kekebalan diri terhadap perkara-perkara yang kurang elok, tempias daripada perubahan zaman. Barulah mampu menjalani kehidupan yang makin mencabar ni," balas Din.

Kedua-duanya mengangguk-angguk tanda setuju.

Perubahan Zaman

Menurut Kamus Dewan, perubahan yang berasal daripada perkataan 'ubah' membawa maksud lain, berbeza daripada sebelumnya. Perubahan membawa maksud peningkatan, perkembangan atau peralihan dari suatu tahap ke tahap yang lain. Maka perubahan zaman boleh dikatakan sebagai zaman yang berbeza dan mempunyai kelainan daripada zaman yang sebelumnya.

Perubahan seperti kata remaja di atas, bukan sesuatu yang boleh ditolak dan dielakkan. Manusia akan terus berusaha mencari makna diri dan makna kehidupan, terus meningkatkan mutu ilmu dan mutu teknologi, mempelbagaikan pilihan dalam kehidupan, terpengaruh dengan perkembangan sekitar dan merangka pelan kerja ke arah yang lebih meningkat. Daripada sini datangnya perubahan.

Perubahan menjadikan kehidupan kita berbeza daripada sebelumnya. Daripada hanya menggunakan basikal, kemudian ke motosikal dan akhirnya kereta. Daripada hanya menggunakan dakwat untuk menulis, kemudian mesin taip dan kini menggunakan komputer untuk mencatat sesuatu. Malah terkini telefon pun hanya sebesar jam tangan.

Perubahan boleh membawa dua pengertian; perubahan ke arah kebaikan dan perubahan ke arah keburukan. Daripada pandangan Islam, sesuatu perubahan sama ada dalam pemikiran, tingkah laku, budaya, sosial dan lain-lain berdiri atas nilai yang digunakan dan matlamat daripada perubahan itu.

Sekiranya asas perubahan ialah mengekalkan manusia di dalam keadaan fitrah, meninggikan kualiti akhlak dan amal, menjadikan manusia lebih berilmu, ia dikatakan perubahan yang baik. Namun jika perubahan hanyalah sebagai tuntutan nafsu-nafsi dan kebendaan semata-mata serta menyebabkan manusia lebih rakus dan tamak, maka perubahan tersebut lebih menjurus ke arah keburukan.

Remaja harus memahami bahawa ada perkara yang tidak akan berubah. Misalnya peredaran bulan dan bintang, penciptaan manusia yang berlainan jantina, bangsa dan agama serta pasang surut air laut. Itu dikatakan sebagai fitrah alam. Tetapi manusia menggunakan akal dan kekuatan berfikir untuk sebaik-baiknya mengeksploitasikan kejadian alam, sama ada ke arah kebaikan mahupun keburukan.

Remaja kini berada dalam zaman yang cepat berubah. Remaja yang sedang menempuh zaman ingin tahu dan belajar, ingin meniru serta ingin berubah akan terkesan dengan perubahan sekitarnya. Remaja misalnya mudah terpengaruh dengan gaya dan kepelbagaian cara hidup, mencari identiti diri, dan bergolak dengan emosi dan impiannya.

Perubahan zaman menuju era informasi memiliki peranan besar dalam membentuk sikap dan perilaku remaja. Teknologi dan informasi yang tidak terkendali fungsinya turut mempengaruhi pola perilaku remaja. Ertinya, perilaku menyimpang tidak hanya semata-mata bersumber daripada remaja itu sendiri. Tetapi, adanya perubahan zaman secara mendadak mampu memacu remaja bersikap dan berperilaku di luar batas.

Justeru, remaja harus hati-hati dalam menerima perubahan. Amat penting mencari pedoman dan panduan pada peringkat umur remaja. Perubahan bagi remaja adalah suatu fitrah.

Sekiranya perubahan yang diinginkan oleh remaja ialah peningkatan ilmu dan kualiti pemikiran, bersikap terbuka untuk mematangkan pergaulan dan menambah pengalaman yang berguna, perubahan yang bakal berlaku pada remaja adalah perubahan yang berfaedah yang akan menjadikan remaja memiliki kualiti tersendiri apabila remaja memasuki alam dewasa nanti.

Oleh itu remaja harus berusaha mempertingkatkan kemahiran diri, sesuai dengan perubahan zaman. Islam sendiri adalah agama yang dinamik serta mengajak umatnya supaya sentiasa berubah untuk kebaikan diri dan umat. Islam adalah agama yang merentas zaman.

Amalan-amalan yang buruk pada zaman jahiliah dihapuskan selepas kedatangan Islam. Kehidupan wanita dan kanak-kanak menjadi lebih terbela dengan ajaran Islam. Kualiti hidup juga dipertingkatkan dengan pemahaman iman dan amal. Justeru, sebagai remaja Islam kita harus memahami bahawa perubahan ke arah kebaikan adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh agama.

Dalam mengendalikan perubahan zaman yang semakin mencabar ini, remaja harus mempunyai beberapa kualiti dan ciri. Pertamanya, remaja mesti mempunyai ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu. Remaja harus berupaya untuk membandingkan ilmu yang benar dan ilmu yang salah.

Tidak semua perubahan daripada Barat harus diterima, dan tidak semuanya harus ditolak. Keupayaan remaja untuk membandingkan yang baik dan buruk mengikut acuan agama dan norma masyarakat sangat penting agar tidak hanyut dengan badai perubahan.

Keduanya, kefahaman terhadap ilmu agama sangat penting kerana ia memacu kepada nilai sesuatu perubahan yang ingin dilakukan. Pemahaman terhadap agama bukan sahaja merangkumi sesuatu yang bersifat ritual, tetapi juga mempengaruhi ruang lingkup pemikiran dan kehidupan.

Remaja harus melihat di samping pentingnya kekuatan iman dan akhlak dan dikemaskan dengan penguasaan ilmu berasaskan nilai murni dan matlamat yang bermanfaat.

Keimanan menjadikan remaja berjiwa merdeka, iaitu keyakinan dan pergantungan yang bulat dan tinggi kepada Allah yang menyebabkan remaja memiliki daya juang serta daya saing yang hebat.

Apabila memiliki kedua-dua ciri tersebut, remaja harus mempunyai iltizam untuk membangunkan keupayaan diri dan umat mengikut acuan kita sendiri. Sudah tiba masanya umat Islam menampilkan dunia sesuatu yang baru dan menarik pengguna ilmu dan teknologi, supaya bukan sahaja ilmu tersebut dapat dimanfaatkan, tetapi juga mampu menguasai minda dan budaya.

Kesimpulan

Masa remaja adalah usia yang akan dilalui oleh setiap orang dewasa. Masa ini akan menguji setiap orang bahawa tidak selamanya hidup dilewati dengan perjalanan yang lurus. Seorang pendayung yang hendak menuju suatu pulau mungkin tahu arah jalannya dan mungkin tahu ada badai di hadapan, tapi tidak semua pendayung mampu melewati badai dan sampai pada tempat yang dituju. Masa remaja adalah masa yang penuh badai dan tidak semua orang mampu melewati masa-masa itu.

Justeru kekuatan ilmu, iman dan amal adalah amat penting dalam memacu remaja untuk menghadapi cabaran perubahan zaman yang semakin deras ini. Asas-asas jati diri Islam perlu kukuh pada remaja kerana tanpanya, sebarang perubahan yang berlaku akan turut menghanyutkan remaja.
0 Responses

    ....LOGO RASMI....

    ....LOGO RASMI....

    SAF KEPIMPINAN

    Sampaikan Salam


    ShoutMix chat widget

    Penyelia Penasihat

    Penyelia Penasihat
    En Mat Zaid Bin Hussein

    Pengerusi

    Pengerusi
    Suhail Anwar B
    Mohamed Nor

    Timb. Pengerusi

    Timb. Pengerusi
    Mohd Hasyim Harun

    Setiausaha

    Setiausaha
    Tunku Aisyah Tunku Mat

    Bendahari

    Bendahari
    Nursyahida Abd Rashid

    PP Pengisian & Pengimarahan

    PP Pengisian & Pengimarahan
    Awang Abdullah
    Abdul Razak

    TPP Pengisian & Pengimarahan

    TPP Pengisian & Pengimarahan
    Nurul Izyan Zainuddin

    PP Publisiti & Informasi

    PP Publisiti & Informasi
    Luqman Hakim
    Muhd Fadzir

    TPP Publisiti & Informasi

    TPP Publisiti & Informasi
    Nurul Syahidah Roslam

    PP Dana & Kebajikan

    PP Dana & Kebajikan
    Ahmad Azhari Nordin

    TPP Dana & Kebajikan

    TPP Dana & Kebajikan
    Adibah Dzulkifli

    PP Domestik & Teknikal

    PP Domestik & Teknikal
    Ahmad Fadhlul Hadi Abdul Hamid

    TPP Domestik & Teknikal

    TPP Domestik & Teknikal
    Liyana Syazwani Abdul Razak

    PP Pengurusan Surau

    PP Pengurusan Surau
    Mohd Syahir Bin Lokman

    TPP Pengurusan Surau

    TPP Pengurusan Surau
    Norsaima Ismail


    Followers