".........Ya Tuhan kami janganlah engkau hukum kami jika kami lupa. atau kami tersalah.
Ya Tuhan' kami jangahlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat
sebagaimana engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami.
Ya Tuhan kami janganlah Engkau pikulkan kepada
kami apa yang tak sanggup kami memikulnya.
Beri maaflah kami, ampunilah kami dan rahmatilah kami.
Engkau penolong kami maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. "
(Maksud surah Al-Baqarah ayat 286.)
Islam telah meletakkan persoalan kepimpinan sebagai satu persoalan pokok dalam ajarannya. Kepimpinan yang berwibawa menjadi faktor utama ke arah maju mundurnya rakyat dan negara. Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk melahirkan kepimpinan yang diredhai Allah, yang mampu menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat. Sejarah Islam telah membuktikan kepentingan ini selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., di mana para sahabat telah memberi penekanan dan keutamaan dalam melantik pengganti baginda memimpin umat Islam. Umat Islam tidak seharusnya dibiarkan tanpa pemimpin. Saidina Umar r.a. pernah berkata, “Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepimpinan dan tiada kepimpinan tanpa taat”
(Rozhan Othman. 1990: 99)
Kepentingan kepimpinan ini perlu difahami dan dihayati oleh setiap muslim yang bertanggungjawab terhadap masa depan agamanya.
PENGERTIAN KEPIMPINAN
Kepimpinan adalah suatu peranan dan proses mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah sebahagian daripada ahli kumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan dijangka bertindak sesuai dengan kedudukannya. Pemimpin juga seorang ahli dalam kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruh dalam melaksana dan mencapai matlamat kumpulan.Pemimpin yang amanah ialah seorang yang memimpin dan bukan seseorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin.
KEPIMPINAN MENURUT ISLAM
Kepimpinan menjadi tunggak kepada tertegaknya Islam di muka bumi dan kemaslahatan umat. Kepimpinan Islam adalah natijah daripada keimanan dan amal soleh. Seorang pemimpin yang mementingkan diri, kedudukan, kebendaan, jawatan dan sebagainya bukanlah daripada pimpinan Islam sebenar walaupun dilabelkan dengan nama Islam. Kepimpinan dalam Islam merupakan usaha menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang manusia daripada keburukan. Kepimpinan adalah bagi mereka yang layak dan berhak sahaja. Dianggap telah melakukan satu pengkhianatan terhadap agama apabila diangkat seorang pemimpin yang tidak layak. Rasulullah s.a.w. telah memberi peringatan dengan sabda baginda:
Ertinya: “Sesiapa yang melantik seorang lelaki sebagai pemimpin untuk sesuatu golongan, sedangkan di kalangan mereka masih ada orang lain yang lebih diredhai oleh Allah daripada lelaki itu, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan mengkhianati seluruh umat Islam. Kepimpinan Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terbaik dalam menghayati nilai-nilai kepimpinan . Baginda telah meletakkan kepentingan umat Islam mengatasi segala kepentingan diri dan keluarga. Sifat-sifat kepimpinan yang dihayati dan ditonjolkan baginda telah menjadi ikutan para pengikutnya di sepanjang zaman dan setiap generasi. Al- Quran telah menjelaskan:
SYA R AT-SYA R AT PEMIMPIN
Kepimpinan adalah satu tugas yang besar dan berat tanggungjawabnya. Bagi menentukan kejayaan dan keberkesanannya, Islam telah meletakkan beberapa syarat. Seseorang itu menjadi amir, mufti, qadhi (hakim), daie atau seoarang yang dikenali pada hari ini sebagai menteri, wakil rakyat, penghulu dan lain-lain lagi, dia haruslah tertakluk kepada syarat-syarat khas dan am yang berkaitan dengan tugas dan jawatan masing-masing. Boleh dikatakan syarat-syarat asas ijmak ulama mengenainya ialah:
1) Muslim, aqil baligh dan lelaki.
2) Adil. Bererti tidak fasik, umpamanya tidak meninggalkan solat dan beramal apa yang diketahui.Tidak bercanggah antara perbuatan dan kata-katanya. Tidak menyalahi kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
3) Berilmu. Ertinya dia mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan fardu ain dan fardu kifayah sehingga dapat membezakan yang maaruf dan yang mungkar.Mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan kepimpinan.
4) Mempunyai qudrat dan kemampuan. Ertinya mampu bertindak menyelesaikan sesuatu urusan sama ada menggunakan tenaga, perkataan, tulisan atau fikiran dalam apa jua suasana.
5) Beradab mengikut akhlak Islam. Ertinya seseorang pemimpin haruslah mampu memberi contoh teladan mengikut akhlak Islam kepada diri dan orang yang dipimpinnya. Selain itu, di dalam dirinya mengandungi sifat ikhlas, jujur, tidak angkuh, ria dan sebagainya. Ringkasnya, terkumpul di dalam dirinya sifat-sifat terpuji dan jauh daripada sifat-sifat terkeji.
6) Sempurna panca indera dan sihat tubuh badan (Abdul Wahab Zakaria 1994:83).
7) Memiliki sifat berlapang dada, tidak mendengar dan menerima umpatan serta pengaduan tanpa usul periksa. Jika perkara ini tidak dapat dijaga, maka dia akan membuka ruang kepada syaitan. Dalam memikul tanggungjawab, pemimpin akan berhadapan dengan berbagai-bagai kerenah pengikutnya, maka perlu baginya menjadi tidak mudah terkesan dengan apa yang disampaikan tanpa memahami keadaan sebenarnya.
sepertimana yang diceritakan oleh Ibn Mas’ud:
Ertinya: “Tidaklah salah seorang daripada sahabatku menyampaikan kepadaku sesuatu perkara tentang seseorang (keburukannya), melainkan sesungguhnya aku suka untuk keluar menemui kamu dalam keadaan dada yang lapang (tanpa menyimpan apa-apa perasaan atau prasangka buruk). (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Seseorang pemimpin tidak mendengar dan tidak mengikut kerenah yang diajukan oleh orang bawahan tanpa usul periksa merupakan satu sifat terpuji yang dituntut bagi seorang pemimpin (Mustafa Masyhur 1986:52).
8) Mampu menilai dan membuat pengamatan semasa terhadap apa yang berlaku di sekelilingnya secara tepat. Berkemampuan membuat pendirian dan menghubungkaitkan setiap apa yang terjadi dalam masyarakat dan sekelilingnya dengan kemaslahatan umat dan agama. Tidak mudah terpengaruh dengan aliran pemikiran masyarakat dan mempunyai kecerdikan dalam menentukan masa depan.
KEPIMPINAN BUKAN SATU KEMULIAAN
Kepimpinan yang dimiliki oleh seseorang adalah satu amanah yang akan dipersoalkan di hadapan Rabbul Jalil di Akhirat nanti. Oleh sebab inilah maka ia bukanlah satu ke muliaan (tasyhri f) tetapi lebih merupakan satu bebanan (taklif) amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh kesempurnaan. Menyedari hakikat inilah maka tidak sepatutnya seseorang itu berusaha untuk mendapatkan kepimpinan dan jawatan ini, kecuali dalam suasana yang dibenarkan oleh syarak. Rasulullah s.a.w. telah memberi peringatan dengan sabdanya:
akan ditanya terhadap apa yang kamu pimpin.”
Para Khulafa’ al-Rasyidin sendiri merasakan diri mereka bukanlah orang yang paling layak untuk memimpin. Mereka memahami bahawa tanggungjawab kepimpinan adalah satu amanah besar daripada Allah S.W.T. Maka tidak hairanlah jika ada di kalangan mereka yang sanggup dimuhasabah walaupun dengan mata pedang.Pernah dua orang sahabat datang berjumpa Rasulullah s.a.w. seperti yang diceritakan oleh Abu Musa di mana salah seorang daripada mereka meminta diagihkan beberapa jawatan kepimpinan untuknya lalu Rasulullah s.a.w. menjawab
dengan sabdanya:
Di sini dapat difahami bahawa kepimpinan bukanlah satu perkara yang boleh diminta-minta untuk dipikul tanggungjawabnya oleh seseorang tanpa sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ia bukan satu ke muliaan yang harus dibanggakan.
CIRI-CIRI PEMIMPIN ISLAM
Pemimpin dalam Islam dikira sebagai penggerak utama untuk maju dan bergerak ke hadapan bagi orang-orang yang dipimpinnya. Bagi memenuhi tuntutan ini seseorang
pemimpin mestilah mempunyai beberapa ciri:
1) Setia (Wala)
Pemimpin dan pengikut terikat dengan wala terhadap Allah S.W.T.
2) Matlamat Islam yang menyeluruh(global)
Pemimpin melihat matlamat organisasi bukan saja berdasarkan kehendak kumpulan tetapi dalam skop objektif Islam yang luas.
3) Mengikut Syariah dan Akhlak Islamiah
Pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus memegang amanah kepimpinan selagi mana boleh mengikut perintah syariah. Semasa mengendalikan tugas dan tanggungjawab, dia mestilah mengikut adab-adab Islam terutamanya semasa berhadapan dengan musuh.
4) Memberi Thiqah
Pemimpin menerima kuasa sebagai amanah daripada Allah yang disertai tanggungjawab yang besar. Para pemimpin disuruh oleh Allah S.W.T. supaya melaksanakan tanggungjawabnya terhadap Allah S.W.T. dan menunjukkan kebaikan kepada para pengikutnya. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
Ertinya: “Orang-orang yang Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’aruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar, dan kepada Allahlah kembali segala urusan.” (Surah al-Maidah : 8)
PRINSIP ASAS KEPIMPINAN ISLAM
Tiga perkara asas yang mengawal perjalanan kepimpinan Islam ialah :
1) Syura
Ia merupakan prinsip pertama dalam kepimpinan Islam. Para pemimpin Islam wajib melaksanakan syura dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik.Ertinya: “Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” (Surah as-Syura: 38)
Pelaksanaan syura ini menjadi asas dalam melaksanakan keputusan. Syura juga berfungsi sebagai tempat menyelia tindakan pemimpin agar tidak terkeluar daripada garis panduan seorang pemimpin dalam menjalankan tugasnya. Pemimpin sudah tentu tidak wajib melaksanakan syura dalam semua perkara. Perkara -perkara biasa hendaklah dihadapi dengan cara dan kaedah yang lain. Perkara biasa dan perkara yang melibatkan perancangan dan polisi hendaklah dibezakan serta dijelaskan oleh ahli-ahli terlibat mengikut saiz, keperluan, sumber manusia, dan suasana yang memerlukan dan mendesak. Pemimpin mestilah mengikut dan melaksanakan keputusan yang dibuat dalam lingkungan syura. Dia hendaklah mengelakkan diri daripada bermain dengan kata-kata yang menonjolkan pendapatnya atau mengubah keputusan yang diputuskan oleh syura.
Secara umumnya, panduan untuk memahami perjalanan kegiatan syura ini adalah seperti dibawah:
Pertama: Hal pentadbiran dan pengurusan hendaklah dikendalikan oleh pemimpin
Kedua: Urusan yang memerlukan keputusan yang pantas dan segera hendaklah ditangani oleh pemimpin dan dibentangkan kepada jamaah mesyuarat atau melalui telefon persidangan.
Ketiga: Ahli-ahli atau wakil mereka hendaklah mampu memeriksa dan mempersoalkan tindakan pemimpin secara bebas tanpa mempunyai perasaan malu.
Keempat: Dasar-dasar yang hendak diambil, objektif jangka panjang dan keputusan yang penting mestilah dibuat oleh wakil yang dipilih dalam suatu proses syura yang besar. Perkara ini tidak boleh diserahkan kepada pemimpin sahaja(Hisham Altalib.1992:54)
2) Adil
Pemimpin hendaklah berlaku adil dalam menjalankan tugasnya tanpa melihat kepada bangsa, warna kulit ataupun agama. Sifat-sifat buruk seperti dendam, hasad dan sebagainya bukan menjadi sifat pemimpin Islam. Walaupun terhadap orang yang dibencinya namun tidak menghalangnya melakukan keadilan dan memberi hak yang saksama terhadap orang yang dipimpinnya. Allah telah berfirman:
Ertinya: “Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekalikali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu
kerjakan.” (Surah al-Maidah : 8)
Dalam Islam kebenaran dan keadilan adalah antara unsur yang mesti diberi penekanan dan tidak boleh bertolak ansur dengannya. Kebenaran tidak boleh dijual beli dengan harta benda dunia dan kedudukan serta dianggap pengkhianat agama bagi sesiapa yang tidak mementingkan kebenaran dan keadilan. Firman Allah S.W.T. tentang kepentingan keadilan ini:
Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan” (Surah al-Nisa” : 13)
3) Bebas Memberi Pandangan
Pemimpin Islam mestilah menyediakan ruang yang membolehkan orang yang dipimpinnya bebas memberi pandangan dan idea yang membina. Peluang diberikan sepenuhnya kepada orang yang dipimpin menyampaikan pandangan secara bebas dan menjawab segala persoalan yang ditimbulkan. Kedudukan sebagai seorang pemimpin bukan menjadi halangan untuk menjelaskan kebenaran. Inilah yang menjadi amalan umat pimpinan Khulafa al- Rasyidin yang sanggup menegur pemimpin dengan amaran mata pedang jika pemimpin mereka melakukan kesilapan.
Tegasnya, kepimpinan Islam bukanlah satu bentuk kepimpinan yang zalim. Islam mewajibkan seseorang pemimpin mesti bersikap adil, berunding dan sentiasa hormat menghormati antara pemimpin dan yang dipimpin. Seseorang pemimpin bertanggungjawab bukan sahaja kepada para pengikutnya tetapi yang lebih berat ialah tanggungjawab terhadap Allah S.W.T.
PENYEMPURNAAN AMANAH KEPIMPINAN
Dalam melaksanakan tanggungjawab kepimpinan Islam, banyak perkara yang perlu diambil kira demi menjamin kesempurnaan amanah kepimpinan. Antara perkara yang mesti dilaksanakan ialah:
1. Memilih yang Lebih Sempurna (Aslah) atau Paling Layak.
Apabila terdapat beberapa orang yang memenuhi syarat dengan sepenuhnya untuk sesuatu tugas atau menyempurnakan amanah, maka hendaklah dipilih orang yang lebih sempurna iaitu yang ‘aslah’ atau yang paling layak. Prinsip ini berdasarkan tindakan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah menyerahkan kunci Ka’abah kepada Bani Syaibah kerana mereka lebih layak (aslah) untuk tugas tersebut. Memilih yang paling layak ini merupakan satu kewajipan dan kemestian. Perlantikan pemimpin yang dibuat atas dasar hubungan kasih sayang atau ikatan kekeluargaan bererti satu pengkhianatan terhadap Allah S.W.T., Rasul-Nya dan kaum muslimin.
2. Memilih yang Lebih Baik (Amthal)
Jika tidak terdapat calon yang layak memenuhi sesuatu tugas maka hendaklah dipilih calon yang lebih hampir dalam memenuhi syarat. Ini bermakna memilih yang terbaik
di kalangan calon yang ada. Hal ini hendaklah dibuat dan diusahakan secara sungguh-sungguh. Perlu diperingatkan bahawa semua jawatan yang mempunyai kekuasaan ialah:
(a) Al-Quwwah
(b) Al-Amanah
Kedua-duanya merupakan rukun kelayakan bagi sesuatu tugas. Ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T.:
yang kuat lagi amanah.”
Quwwah maksudnya di sini ialah kekuatan dalam pengertian yang luas. Bukan sekadar kekuatan tubuh badan tetapi lebih luas daripada itu. Ini bergantung pada bidang tugas dan pekerjaan yang dipikul. Sebagai contoh, quwwah bagi kepimpinanketenteraan ialah mempunyai sifat keberanian, pengetahuan dan mengetahui tipu daya serta selok-belok ketenteraan dan peperangan, mampu berhadapan dengan musuh dan memimpin bala tentera. Quwwah dalam menghukum pula ialah kemampuan dari sudut ilmiah yang tinggi sehingga boleh menghukum dengan adil dan saksama berdasarkan al -Quran dan al-Sunnah. Juga berkemampuan untuk melaksanakan hukum.
Amanah maksudnya di sini ialah takut kepada Allah S.W.T., tidak menjual ayat-ayat Allah S.W.T. dengan harga yang murah dan tidak takut kepada manusia. Inilah tiga ciri bagi sifat – sifat amanah yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Apa yang perlu diberi perhatian ialah berlaku kesulitan mendapatkan kombinasi antara Amanah dan Quwwah ini. Kombinasi dua sifat ini bagi satu peribadi adalah agak sulit. Imam Ahmad pernah ditanya mengenai dua orang yang akan menyertai serangan.
Terdapat seorang yang kuat tetapi fajir (jahat) dan seorang lagi soleh tetapi lemah. Imam Ahmad telah menjawab bahawa sesungguhnya yang kuat tetapi fajir itu lebih memberi kekuatan kepada kaum muslimin, sedangkan yang soleh tetapi lemah itu kesolehannya adalah untuk dirinya sendiri sedangkan kelemahannya merugikan kaum muslimin, maka berperanglah bersama yang kuat walaupun fajir. Prinsip ini penting di mana jika tidak ada calon yang memenuhi syarat quwwah dan amanah ini, maka hendaklah dilihat kepada kemampuan dan kepakaran yang mana lebihmendatangkan manfaat dan mengurangkan mudharat bagi kaum muslimin. Tegasnya kemampuan, kecekapan dan kepakaran yang diperlukan bagi mengisi jawatan itu adalah diutamakan iaitu meletakkan orang yang sesuai untuk tugas yang sesuai.
Dalam mengenalpasti calon yang lebih layak dan pelaksanaannya perlu dipastikan apakah tujuan jawatan tersebut. Ini bermakna, jawatan tersebut hendaklah dipastikan tujuan, tugas, bidang kuasa seseorang itu dilantik untuk mengisinya. Selepas itu, hendaklah diketahui dan dipastikan cara pemilihan dan perlantikan bakal pemegang jawatan tersebut. Jika telah dapat dipastikan tujuan dan
cara, maka sempurnalah urusan. (Mahmud Saedon Hj. Othman 1996:85–89).
KEPIMPINAN YANG BERKESAN
Kepimpinan adalah satu gerak kerja yang memerlukan kemahiran. Ini penting demi menentukan kejayaan dan keberkesanannya. Antara kejayaan dan keberkesanandalam kepimpinan ini dapat dilihat dalam beberapa sudut:
1. Peranan seseorang pemimpin ialah mengatur, menyusun dan mengikat hubungan yang rapat dengan para pekerja dan bukan menjalankan kerja-kerja yang sama
dengan pekerja lain, kecuali dalam kerja-kerja tertentu (cemas) supaya ia boleh memberi perhatian kepada tugas-tugasnya sebagai pemimpin. Kajian telah menunjukkan bahawa pemimpin yang berjaya ialah pemimpin yang telah menghabiskan lebih separuh masanya dalam mengatur, menyusun, melatih dan
meningkatkan hubungan kemasyarakatan dalam kumpulan kerja.
2. Pemimpin yang berjaya telah memberi tunjuk ajar yang berkesan kepada orang bawahannya iaitu dengan mengukuhkan hubungan dengan para pekerja dan menimbulkan kemesraan di antara mereka. Pemimpin yang hanya memberi penekanan kepada kerja, kebiasaannya hubungan pemimpin ini dengan orang bawahan amat ringan. Ia amat memberi perhatian kepada pengeluaran yang baik sahaja tetapi mereka yang menjalankan kerja, nilai mereka hanya berhubung dengan kerja dan pengeluaran sahaja.
3. Pemimpin yang berjaya boleh menyerahkan bahagian kuasa iaitu memberi peluang kepada para pekerja membuat keputusan bersama. Hal ini boleh memberikan mereka peluang berlatih menguruskan kepimpinan atau pengurusan kecil-kecilan. Juga boleh memberi kesempatan kepada seseorang pemimpin menguruskan tanggungjawab yang lain (Sohair Abdel Moneim Sery, 1990:95).
4. Peranan seseorang pemimpin ialah mampu dan berjaya menyelesaikan permasalahan yang timbul di kalangan orang yang dipimpinnya. Kemahiran berkomunikasi bagi seseorang pemimpin dan wujudnya sistem komunikasi yang berkesan akan dapat membantunya menyelesaikan masalah yang timbul. Kegagalan dalam aspek ini dapat menimbulkan banyak masalah yang akan menjejaskan kecekapan dan kelicinan perjalanan sesebuah organisasi (Razali Mat Zin,1991:92).
KEPIMPINAN KELUARGA MENURUT ISLAM
Islam melihat bahawa pembentukan keluarga yang memenuhi kehendak agama bergantung rapat dengan kepimpinan rumahtangga itu sendiri . Seorang ketua rumahtangga atau suami wajib memimpin ahli keluarganya dengan penuh tanggungjawab. Peranan suami yang dibantu oleh isteri adalah faktor utama dalam melahirkan generasi muslim yang cemerlang. Suami tidak hanya bertanggungjawabmemberi nafkah makan minum, pakaian dan tempat tinggal semata-mata.
Pendidikan dan penekanan terhadap ajaran agama mestilah dijadikan agenda utama dalam kehidupan keluarga. Pemimpin keluarga bukan sahaja berfungsi memberi keamanan dan kesejahteraan keluarga sewaktu kehidupan di dunia ini tetapi juga kehidupan kekal abadi di Akhirat. Allah S.W.T. telah memberi peringatan di dalam al-
Quran yang bermaksud:
Institusi keluarga merupakan asas kepada pembentukan generasi muslim. Keberkesanan dalam mencapai matlamat kekeluargaan dalam Islam ini berkait rapat dengan gaya kepimpinan keluarga yang berwibawa dan amanah.
Post a Comment