Alhamdulillah, di pagi yang indah tanggal 12 Oktober 2008 bersamaan 12 Syawal 1429 H, bertempat di Padang Tasik Varsiti, Balai Islam ASTAR telah berjaya menganjurkan majlis Jamuan Hari Raya Balai Islam ASTAR, yang buat julung kalinya diadakan.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran En Mat bersama isteri dan anaknya. Jamuan ringkas tetapi mantap tersebut turut dihadiri oleh AJK Balai Islam dan beberapa tetamu jemputan yang lain.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Saudara Pengerusi, Kemudian diikuti oleh En. Mat. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa terkejut dan teruja kerana dimaklumkan agak lambat dan secara mengejut. Beliau turut melahirkan rasa bangga dan syukur kerana Balai Islam sesi kali ini lebih mantap dan bersifat terbuka jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang sebelumnya. Beliau berharap agar tradisi tersebut dapat diteruskan agar Balai Islam ASTAR terus berjaya menjulang Islam di ASTAR khususnya.
Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan doa pagi dan doa makan oleh Saudara Mohd Hasyim. Aturcara berikutnya ialah jamuan. Kami dihidangkan dengan pelbagai juadah yang menarik dan enak-enak belaka. Tidak ketinggalan juga pelbagai jenis kuih raya turut dihidangkan. Berlatarkan lagu raya yang menemani kami sepanjang jamuan, membuatkan suasana raya lebih dirasai, ditambah pula dengan gelak tawa dan suasana tasik yang begitu mendamaikan.
Seterusnya, sebaik sahaja selesai makan, majlis diambil alih oleh Kak Hasnah dan Kak Suhaila, untuk menjalankann aktiviti yang seterusnya. Untuk pengetahuan, jamuan raya tersebut bukan sahaja jamuan, tetapi turut diisi dengan beberapa jenis permainan yang kami kira mampu mengeratkan ukhwah dalam kalangan kami. Antara permainannnya ialah, bangunan ukhwah, kenali sahabat dan satu lagi permainan yang mengajak kita berfikir di luar kotak.
Secara ringkasnya, kami kira, permainan tersebut berjaya mencapaii objektif utamanya iaitu untuk mengeratkan lagi ukhwah yang memang sudah sedia terjalin dalam kalangan ahli Balai Islam. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan juga, dilihat mampu menjadi medium untuk menjalin silaturahim, selain mengajak kita berfikir dengan lebih jauh. Sememangnya, program seumpama itu, mampu mencetuskan suasana riang, harmoni dan ukhwah dalam kalangan kami yang menyertai permainan tersebut.
Majlis diakhiri dengan penerangan objektif permainan daripada Saudara Pengerusi. Pemenang bagi setiap permainan juga turut diumumkan. Di kesempatan itu juga, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi menghadiri dan memberi sokongan kepada majlis tersebut. Beliau juga turut mengalukan kehadiran sahabat-sahabat ke program Hari Interaksi Balai Islam, Rehlah Ukhwah Fillah Abadan-Abada, RUKHFIS 08 yang akan berlangsung pada minggu depan.
Sebelum pulang, kami bergambar sebagai tanda kenang-kenangan. Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari. Kami bersiap dan berkemas untuk pulang ke kolej dalam keadaan yang gembira. Semoga program seumpama itu dijalankan lagi pada masa akan datang. Dan yang paling penting, moga ukhwah dalam kalangan kita mampu dijalinkan dan dieratkan lagi melalui program-program seumpama itu. Sekian, salam ukhwah fillah...
Oleh: HasYimie...
Post a Comment