“Sebelum tidur nanti aku solat Isyak. Sekarang habiskan study group dulu”
“Ada RM20 je. Kalau lepas shopping ada lebih, aku sedekahlah kat Pak Cik ni”
“Baca KOSMO dululah. Habis je nanti aku bacalah al-Quran”
“Yang penting selesaikan kerja ni dulu. Kalau sempat aku turun ke surau dengar ceramah”
Biasa mendengar atau menggunakan dialog di atas? Jika tidak mirip mungkin seakan-akan sama? Jangan tipulah. Pasti ada.
Ibarat nasi berlauk ikan yang kita jamah bersama keluarga, jika ada lebih saki baki ikan seperti kepala dan tulangnya, ataupun lauk ayam, saki baki lemak, kulit atau tulangnya kita hidangkan kepada Si Tompok kucing tersayang. Begitu juga kita memberi saki baki masa kita untuk ALLAH SWT, Tuhan Yang Maha Agung yg kita akui kita cinta dan kita hormati.
Kalau mahu bermesyuarat, sanggup dahulukan mesyuarat daripada solat berjemaah Isyak di surau. Kalau mahu berprogram, sengaja mengawalkan masa yang menganggu waktu solat. Kalau tengah sibuk belajar, bukannya tidak boleh berhenti sekejap dan dahulukan solat.
Apabila ada duit, tak pernah terfikir nak mengasingkan sedikit untuk amal jariah. Bukannya menguntungkan orang lain, diri sendiri juga yang mendapat manfaatnya. Kita lebih suka menunggu jika ada rezeki lebih baru nak memberi sedekah.
Membaca surat khabar sehingga 1 jam setiap hari, menghadap komputer melayari laman web dan bersembang dengan kawan-kawan kita dahulukan daripada membaca kitab Allah SWT. Walaupun sebenarnya membaca 1 juzuk al-Quran boleh dihabiskan dalam masa 20 minit.
Inilah kita. Kita kata kita cinta Allah. Kita kata kita mengharapkan rahmat dan reda Allah. Kita kata Allahlah segala-galanya di hati kita. Kita kata kita tak boleh hidup tanpa petunjuk Allah. Kita kata rezeki, jodoh, ajal dan maut adalah dengan ketentuan Allah. Kita kata kita nak mati dengan mengucap kalimah Allah. Kita kata nanti kita nak jumpa Allah.
Tapi kita memberi saki baki masa kita kepada Allah. Kita membelakangkan Allah. Kita meletakkan Allah di tempat yang tidak sepatutnya dalam hati kita. Kita bermain-main dalam taat pada perintah Allah. Kita sambil lewa dengan setiap perintah Allah. Kita memang tak pernah nak sedar.
Memang. Memanglah Allah Maha Pemurah. Allah Maha Penyayang. Allah Maha Sabar. Tetapi ingat. Ingatlah Allah juga Maha Kaya, Dia tidak perlukan kita. Allah juga Maha Kuasa, sekelip mata Allah boleh tunjukkan . Allah juga Maha Zalim, Dia akan memberi balasan kepada orang yang tidak tahu bersyukur.
Allah berfirman dalam surah 84 ayat 6 yang bermaksud ‘Wahai manusia! Sesungguhnya kamu telah bekerja keras menuju Tuhanmu, maka kamu akan menemuiNya’. Sudahkah kita bekerja keras? Kita memberi saki baki masa dan harta kita untuk Allah. Hanya saki baki yang selayaknya bukan untuk Tuhan yang mencipta kita. Selayaknya saki baki untuk sesuatu yang rendah tarafnya. Jika perbandingannya begitu maka kita anggap Allah itu apa dan siapa? Apa dan siapa Allah di hati kita? Dimana letaknya?
Allah berfirman lagi dalam surah 58 ayat ke 17 ‘Harta benda dan anak-anak mereka tidak berguna sedikit pun (untuk menolong) mereka dari azab Allah. Mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya’. Berapa ramai yang seangkatan dengan Haji Bakhil menyumbangkan seringgit dua untuk yang memerlukan sedangkan hartanya banyak dan dibazirkan pada tempat yang tidak wajar? Keluarga diutamakan lebih daripada Allah. Tak perlu pandang belakang, kiri atau kanan tetapi lihatlah keluarga kita. Emak yang mithali mengutamakan kerja-kerja memasak, mengemas rumah, mengurus anak lebih daripada mengurus soal solat dan tilawah. Sehinggakan waktu Subuh tergadai kerana sibuk menguruskan hal makan pakai anak-anak. Ini bukan lagi saki baki yang kita berikan pada Allah, tetapi tiada apa-apa. Kosong.
Betapa banyaknya peringatan Allah dalam al-Quran yang menjadi bekalan untuk kehidupan yang sejahtera sebagaimana Allah berfirman dalam surah 58 ayat ke 11 ‘Wahai orang-orang yang beriman! Apabila dikatakan kepadamu, “Berilah kelapangan di dalam majlis-majlis”, maka lapangkanlah. Nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu’. Ceramah ringkas selepas Maghrib atau Kuliah Maghrib sering kita abaikan. Kita lebih biasa dan suka mengisi masa tersebut dengan menonton berita di kaca TV dan menyiapkan tutorial. Malah lebih teruk lagi masa itu adalah masa untuk makan dan mandi. Seakan-akan tiada masa lain lagi. Macamlah kita sibuk sangat.
Kita tidak sibuk, tetapi kita suka mengamalkan sikap suka menangguh kerja. Maka segala tugas yang sepatutnya boleh dilakukan dengan tenang kita terpaksa bergegas. Jadi kelam-kabut. Maka kelapangan apa lagi yang boleh kita harapkan? Allah hanya akan memberi kelapangan kepada orang beriman yang melapangkan dirinya untuk majlis-majlis. Bolehkah kita untuk merasa lapang sedangkan kita tidak boleh melapangkan sedikit masa untuk majlis-majlis ilmu lagi bermanfaat?
Saya suka dalam konteks menyampah dan penat ingin sekali menarik perhatian pembaca tentang situasi kita. Kita yang memang suka melambakkan tugas dan merasa kitalah yang paling sibuk sekali. Kita merasa kita sudah cukup alim walhal main-main dalam melaksanakan perintah Allah. Kita merancang program bermanfaat tetapi cara dan prosesnya yang tidak kena. Mesyuarat berjam-jam tanpa strategi. Berterabur membazir masa.
Baru-baru ini, ada segolongan Muslim menganjurkan program makan malam yang dalam kad jemputan tertera masanya pada pukul 7 malam. Mengucap panjang saya. Alasannya tulis je 7 malam, tetapi mula pukul 9. Nasib baik saya ini pelajar universiti, bolehlah berfikir sikit-sikit. Kalau nak mula pukul 9 kenapa perlu tulis pukul 7 malam? Saya terus boikot program yang macam ini. Nak tegur pun tidak mampu dah.
Untuk Yang Tersayang, kita sanggup menunggu awal walaupun janjinya lambat lagi. Untuk Yang Tersayang, harta sanggup digadai agar Dia gembira. Untuk Yang Tersayang, lautan api sanggup kita renangi, badai berombak sanggup ditempuhi agar Dia dapat kita bahagiakan.
Untuk Allah yang kita sayang. Adakah saki baki yang mahu kita berikan?
daripada: Yuana
Post a Comment