Perutusan Balai Islam Sem 1 Sesi 09/10



orang-orang yang beriman itu sesungguhnya bersaudaa, sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. Al-Hujurat:10


Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Umum mengetahui, seluruh warga UM baru sahaja menamatkan sesi pengajian untuk semester 1 sesi 2009/2010. Manakala untuk pelajar perubatan pula, masih lagi bergelut dengan buku-buku menjelang peperiksaan tidak lama lagi. Selamat maju jaya kami ucapkan semuanya.

Dikesempatan ini, kami daripada Balai Islam ASTAR (BI), mengucapkan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program- program BI sepanjang sesi. Pada semester 1, sesi ini, BI telah pun berjaya menganjurkan 2 projek iaitu Minggu Penghayatan Ramadhan (TAMAN 09) dan Kursus Pra Perkahwinan (KPP 09).

Ia juga turut disertai dengan beberapa program yang dikendalikan di bawah biro Pengisian dan Pengimarahan Surau seperti Solat Hajat Ambang Peperiksaan, Jamuan Raya, Kuliah Ilmu Sepuluh Minit (KISMIS) , Qiamulail dan Dhuha, serta banyak lagi program pengisian seperti yang telah diatur secara harian mahupun berkala.


Dalam menyajikan program-program pengisian rohani, sebagaimana yang telah diamanahkan kepada BI, sememangnya kami cuba memberikan yang terbaik. Namun, sebaik mana pun program itu dirancang dan dilaksanakan, tanpa penglibatan dan komitmen daripada semua pihak, agak mustahil untuk ia dikatakan berjaya. Segala kekurangan memang diluar perancangan, kerana sebaik-baik perancang itu ialah Allah yang Maha Esa.

Rentetan daripada, sebagai memulakan rentak pada sem 2 sesi 09/10, beberapa program dan penambahbaikkan telah dirancang untuk kebaikan bersama. Umum juga mengetahui, satu lagi projek BI iaitu Simposium Maal Hijrah 1431 sedang rancak dalam perlaksanaan menjelang berlangsungnya program tersebut iaitu pada 7,9 dan 10 Januari 2010.

Untuk sesi kali ini juga, perancangan awal menyaksikan, BI akan menganjurkan Majlis Malam Apresiasi Balai Islam sebagai tanda penghargaan kepada seluruh warga kerja BI. Diharapkan semuanya dapat berjalan dengan lancar. Turut diselitkan juga ialah Program Rehlah Ukhwah Fillah Selamanya (RUKHFIS) demi memantapkan lagi ukhwah antara ahli.


Sebagai menutup tirai untuk kali ini, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya, lebih-lebih lagi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Manakala, untuk yang baru sahaja tamat peperiksaan, setelah berusaha, dan berdoa, maka bertawakallah kepada Allah sementara menanti keputusannya.

Kepada seluruh pengunjung blog ini juga, selamat melayari blog ini, bersama memanfaatkan apa yang ada.

Diakhirnya, kami, seluruh warga Balai Islam 09/10 mengucapkan selamat bercuti kepada seluruh warga UM. Apa yang pasti, sepanjang cuti ini, pasti pelbagai aktiviti persatuan, mahupun riadah bersama keluarga dan rakan telah dirancang. Maka, gunakan waktu cuti yang ada ini, untuk diisi dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Moga berjumpa lagi di sem akan datang. Insyallah... - Balai Islam_Islam Cara Hidupku

Seminar - Wacana Minda Remaja: Hijrah Cinta


Cinta sememangnya satu fitrah.
Menyukai sesuatu sehingga menginginkannya,
menyayangi sesorang sehingga ingin memilikinya, CINTA ?
Berazam untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam, mendidik diri agar menilai yang hak dengan yang batil, HIJRAH ?


Maka, bagaimana pula yang dikatakan HIJRAH CINTA ??? Ikuti kupasan menarik 3 jam bersama Ustaz Hasrizal Bin Abd Jamil (Blogger Saifulislam.com, penulis buku Aku Terima Nikahnya) di dalam Seminar- Wacana Minda Remaja: Hijrah Cinta. Jangan lepaskan peluang keemasan ini. Pertanyaan hubungi_ Firdaus-017-6278651

DIMAKLUMKAN BAHAWA BERLAKUNYA PERTUKARAN TEMPAT IAITU DI ANJUNG ILMU ASTAR, KOLEJ KEDIAMAN PERTAMA, UM. (update - 6 Jan. 2010)

Membalas Kebaikan Bukan Dengan Kejahatan

HIJRAH 10: Pengenalan


SIMPOSIUM MAAL HIJRAH 1431
(HIJRAH '10)

"Merintis Perubahan,
Nadi Intelektual Islam Sejagat"

22, 23 & 24 Muharram 1431 / 8,9 & 10 Januari 2010


Program-program:

Forum Perdana Simposium Maal Hijrah
Seminar- Wacana Minda Remaja: Hijrah Cinta
Pertandingan Puisi Hijrah Intra UM
Pameran Khat dan Demonstrasi Khat
Pameran dan Jualan Buku
Tayangan Multimedia Hijrah 10



*maklumat lanjut mengenai setiap program akan menyusul kemudian


Al Baqarah:216

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu dan ingatlah Allah jualah yang mengetahui semuanya itu, sedangkan kamu tidak mengetahui... Al-Baqarah:216

Iklan songsang cemar kemurnian budaya

Oleh Imlan Adabi-B. Harian

Sehingga kini kerajaan belum kuat kuasa sebarang akta khusus



SANGGUPKAH anda mencari dan mengira 1,000 seluar dalam wanita yang sengaja disembunyikan? Bagaimana perasaan anda jika sedang berada di pelamin, lalu ditanyakan: "Kau dah potong ke belum?"

Ada wanita yang bermuram dan kurang keyakinan diri semata-mata muka berjerawat kerana kawannya lambat memberitahu mengenai pembersih muka yang menjadi 'idaman kita semua'.

Sekali lagi dan secara berterusan, citra songsang pengiklanan terus berleluasa di sekeliling kita.


Iklan yang awalnya sekadar untuk memperkenalkan produk, kini sudah menjadi suatu bentuk pemaksaan terhadap pengguna. Orang ramai ditakutkan supaya membeli barangan mereka agar sentiasa setanding dengan orang lain dalam pelbagai hal.

Tanpa membeli produk yang diiklankan, kita akan dianggap kolot, kurang keyakinan, banyak masalah kerana segala-galanya sudah dilimpahkan melalui produk yang diperkenalkan.

Ada syarikat pemaju perumahan yang projeknya jarak 40 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, mengiklankan kediaman selesa dengan perjalanan hanya 10 minit ke ibu kota. Iklan tidak masuk akal ini berulang sepanjang masa dengan pelbagai citra songsang yang memesongkan akal pengguna.

Namun tiada tindakan diambil kerana kita kurang penguatkuasaan untuk menghukum pengiklan yang menipu pengguna. Sehingga kini Malaysia belum ada akta pengiklanan yang khusus untuk mengawal selia corak papan tanda dan mesej yang dipaparkan kepada orang ramai.

Kekurangan ini menyebabkan pengiklan sentiasa mencari ruang untuk memesongkan cita rasa pengguna semata-mata untuk kepentingan pengeluar produk. Penyelewengan dan pemaksaan secara halus terhadap pengguna dibawa ke ruang tamu rakyat Malaysia sepanjang masa melalui pelbagai media.

Akta Perihal Dagangan 1972 sekadar memberi garis panduan terhadap pengiklan serta 'pesanan' supaya tidak keterlaluan menyampaikan mesej. Oleh kerana kita belum ada akta khusus mengawal pengiklanan, Akta Perihal Dagangan 1972 saja yang boleh diharapkan untuk memantau setiap isyarat pengiklanan sepanjang masa menerusi penerbitan katalog, senarai harga, surat pekeliling, label, kad atau tayangan gambar.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya. Iklan songsang terus berleluasa dan akta yang wujud sekadar tercatat di atas kertas tanpa sebarang tindakan. Pemantauan dan tindakan hukum oleh penguat kuasa terlalu longlai menyebabkan imej songsang dan lucah kerap muncul di kaca TV dan panggung wayang.

Seks, wanita dan harga diri diperdagangkan secara berleluasa. Iklan kereta mewah menampilkan seorang gadis seksi yang menenggek di atas kusyen dengan mata separuh tertutup dan mulut ternganga. Iklan syampu, krim pencerah kulit, gincu dan tuala wanita menampilkan insan lincah dan manja.

Ada wanita berkemban dan ada juga gadis berpakaian ketat berlari tanpa arah. Hanya iklan ubat nyamuk dan serbuk cuci pakaian yang menampilkan Opah dan Mak Limah dengan wajah berminyak.

Sebelum ada larangan khusus iklan tembakau, banyak syarikat pengeluar rokok mengeksploit produk mereka dengan pelbagai helah.

Penajaan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Frazier dibawa 'khusus' oleh syarikat X yang mementingkan keaslian bersukan, Sukan Olimpik dan Bola Sepak Piala Dunia sebelum ini ditaja oleh syarikat rokok, malah liga bola sepak tempatan juga 'dibawa khusus' sebuah syarikat rokok terkenal.

Imej ahli sukan diperguna seolah-olah rokok memberi kekuatan tambahan untuk aktiviti riadah. Rokok pernah dianggap sebagai sumber inspirasi. Ada iklan yang menampilkan aksi seorang pelukis pelan yang sukar menyiapkan tugasan kerana kebuntuan. Dia kembali bertenaga selepas menyedut asap rokok Y. Rokok juga dianggap hebat dan berstatus tinggi.

Orang ramai terus diperdaya untuk menjadi mangsa iklan yang ada masanya sesuatu produk dibeli kerana imej songsang pengiklanan.

Apakah kita sanggup terus dipermainkan dengan imej songsang walaupun negara sudah 52 tahun merdeka? Sesuatu perlu dilakukan supaya pengiklanan seluar dalam dan 'potong' tidak berleluasa lagi. Kerajaan perlu bertindak dan menghukum syarikat yang kerap memperdayakan pengguna. Citra songsang bukan budaya kita.


Kita Di 'Dakwah' Secara Berhikmah !!!

Secara tidak sedar kita sedang di "dakwah" oleh mereka tetapi kita tidak sedar ,mereka melazimi simbol-simbol mereka supaya manusia terbiasa dengan keadaan itu . Tujuannya ialah mengurangkan kejutan dan membuka ruang redo secara tidak sedar supaya kemunculannya nanti di terima dan diakui oleh manusia atau lebih tepat diakui oleh umat Islam.


AKU SEPASANG SELIPAR...




Namaku SiPun, aku adalah dari bangsa slipar Jepun. Jenis-jenis lain, juga yang selain daripadaku dijual di merata kedai sukan. Aku telah dibeli semenjak setahun yang lepas. Semenjak itu hidupku mula berubah. Aku menjangkakan tentulah kebanyakan daripada hayatku akan kuhabiskan di trek atau di gimnasium. Tapi jangkaanku meleset.

Tuanku lebih kerap membawa aku ke masjid-masjid dan ke rumah kawan-kawannya. Aku sempat mencuri-curi dengar kegiatannya dalam kelompok tersebut. Itulah yag dinamakan usrah rupanya. Apa yang ingin ku ceritakan di sini mungkin berguna kepada kalian semua. Berikut adalah pemerhatianku berkenan tuanku. Dia seorang da`i, kekagumanku dengan usahanya telah menginsafkan aku untuk mncoretkan warkah ini.

Dahulu, tuanku hanya berseorangan. Aku selalu ke masjid bersamanya seorang. Di sana beliau mengabiskan masa mendengar ceramah agama, tak cukup dengan itu, habis kedai-kedai buku agama kami kunjungi. Sememangnya dia seorang yang obsessed dengan ilmu pengetahuan. Tafsir al-Qur'an memang selalu dibacanya. Ini membanggakan aku, kerana dapat berbakti kepada seorang yang cintakan ilmu.

Aktivitiku tidak terhad begitu sahaja, aku juga sering dibawa ke kompleks sukan dan padang bola. Yang peliknya aku mendapat ramai kenalan ketika berada di padang, tetapi sering berseorangan ketika dibawa ke masjid.

Dahulu, ini menjadi aktiviti kegemaranku, kerana dengan ini aku mendapat ramai kawan. Mulanya aku agak pelik dengan situasi ini, tetapi lama-kelamaan ramai kenalanku turut serta setiap kali aku ke masjid. Kini fahamlah aku, tuan aku menggunakan padang bola dan kompleks sukan untuk berdakwah rupanya. Masya Allah!

Tak sangka juga, dengan aktiviti sukan tuan aku sempat juga mengajak rakan-rakan ke masjid. Sekarang aku tidak bersendiri lagi. Hampir setiap malam tuan aku akan berkunjung ke rumah rakan-rakannya. Di sini aku mengambil peluang untuk bersama dengan rakan-rakanku untuk bertukar pengalaman. Rakan-rakanku amat mengagumi tuanku. Aku tumpang berbangga.

Usrah berjalan hampir setiap malam. Sememangnya tuan aku tidak kenal erti rehat. Baginya tempat rehat adalah Syurga dan masa untuk tidur adalah di alam kubur. Semua kasut akan senyap setiap kali tuan aku mula berbicara. Kaata-katanya penuh hikmah, setiap isi disokong dengan hadis dan ayat al-Qur'an. Tuan aku tidak banyak bercakap apatah lagi perkara yang sia-sia. Aku dapati rakan-rakan tuanku turut kagum dengan kebolehannya.

Apabila bersama rakan, tidak pernah langsung beliau mencerca rakan yang lain. Jika ada perkara yang hendak ditegurnya akan dilakukan dengan hikmah. Aku lebih banyak mendengar beliau memuji orang berbanding mencerca kesalahan orang.

Kini aku masih berbakti lagi. Aku tahu kalian tentu menganggap tulisanku ini gila dan tidak masuk akal. Akan tetapi renungkanlah kata-kataku ini. Aku mungkin kasut, tetapi suatu hari nanti mungkin Tuhan akan memberikanku mulut untuk berkata-kata, untuk bersaksikan apa yang tuan aku telah kerjakan. Pada saat itu akan aku saksikan pada Tuhan apa yang aku nukilkan pada kalian.

Untuk kalian semua contohilah tuanku. Berdakwahlah dengan cara hikmah. Jangan sekali-kali lari dari masyarakat. Terkadang masyarakat di sekeliling kalian suka bersukan, atau mungkin sukakan hiburan. Ikutlah rentak mereka sebagaimana aku menari mengikut irama tuanku. Dalam berkata-kata hendaklah kalian berhati-hati, jauhilah cerca dan maki, lebihkanlah ukhuwwah dan pujian. Sesungguhnya mad`u suka dipuji. Namun puji biarlah ikhlas.

Apabila berbicara gunakanlah al-Qur'an dan al-Hadis. Jangan kalian ikut sesedap mulut, kelak menikam kalian dari belakang. Tambahkanlah ilmu kalian, maka orang akan mendengar cakap kalian. Bukankah Tuhan menjanjikan darjat yang tinggi untuk orang yang berilmu? Jadilah da`i yang serba boleh. Jangan kalian sekatkan skop dakwah kalian, setakat mengajak ke surau dan masjid. Ingatlah, bersukan, muzik, berjalan, itu semua adalah dakwah bagi kalian. Setapak kalian berjalan, mungkin bisa mencampak hidayah ke dalam diri teman kalian.

Oh! Aku memang tidak layak untuk menasihat kalian. Apatah lagi aku hanya sepasang kasut. Kalian tidak perlu memaafkanku kerana aku hanyalah kasut. Tetapi maafkanlah tulisan aku kira aku cuba mengajar kalian, makhluk yang terbaik di sisi Allah. Sebelum lidah kasutku ini bergetar deras, cukuplah dulu nukilan dariku, sepasang kasut seorang da`i.

Glossari:
daie = orang yang mengajak (kepada kebaikan dan meniggalkan keburukan)
mad'u = orang yang diajak oleh orang yang mengajak
usrah = (asal Bahasa Arab) keluarga

artikel asal : http://cintaagong.blogspot.com

Ilmu Mendekatkan Diri Kepada Allah


Pada hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam di negara ini sudah mula berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan ulama. Di masjid-masjid dan surau-surau majlis-majlis pengajian ilmu semakin rancak diadakan.

Ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segenap lapisan masyarakat yang dahagakan ilmu dan pentarbiahan hatta terdapat masjid yang mengadakan majlis pengajian pada setiap malam. Ini suatu perkembangan yang baik kepada peningkatan kualiti umat Islam di negara ini dan agama Islam itu sendiri.

Persoalannya, apakah ilmu yang mereka perolehi ini benar-benar memberikan manfaat dan kesan ke dalam diri mereka?

Ketahuilah, bahawa sebaik-baik ilmu ialah ilmu yang menjelmakan perasaan takut kepada Allah SWT. Iaitu, takut yang disertai perasaan membesarkan Allah dan menumbuhkan amal. Allah SWT telah memuji para ulama melalui firman-Nya: Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (al-Faatir: 28)

Inilah ilmu yang paling bermanfaat kerana ilmulah yang memandu kita ke jalan akhirat. Kalam hikmah ini diungkapkan oleh Sheikh Ibnu Atoillah al Sakandari r.a dalam Hikamnya yang bertajuk al Hikam al Atoiyyah.

Terbukti, kalam hikmahnya ini telah mampu melunakkan hati yang keras, menenangkan jiwa yang resah, mengekang nafsu yang rakus dan mengajak manusia menyelami hikmah-hikmah di sebalik kejadian Allah SWT. Semoga kita mendapat manfaat daripadanya.

Adapun orang alim yang tidak mempunyai perasaan takut kepada Allah bukanlah orang alim yang sebenarnya.

Lebih-lebih lagi, orang alim yang keinginannya untuk mendapatkan kemewahan dunia, kemegahan dan bersikap takbur dengan ilmunya.

Ilmu sebegini hanya akan menjadi hujah ke atasnya di akhirat kelak dan sebab yang akan mengundang bala dan akibat yang buruk kepadanya.

Umar ibn al Khattab r.a pernah berkata, "Perkara yang paling aku takuti berlaku terhadap umat ini ialah munculnya orang yang alim pada lisan tetapi jahil pada hati".

Ini bukanlah ciri-ciri pewaris para nabi kerana pewaris para nabi memiliki sifat zuhud terhadap dunia, berminat terhadap akhirat, ikhlas menyampaikan amanah ilmu dan bertakwa.

Orang yang memiliki ilmu yang bermanfaat, tidak memiliki sifat bongkak atau takbur, tidak suka mencaci orang lain, berlapang dada, mudah diajak berbincang dan tidak cepat melatah.



Sahl ibn Abdullah r.a pernah berkata: "Janganlah kalian memutuskan satu urusan dari urusan-urusan dunia dan agama kecuali setelah berbincang dengan ulama. Maka kesudahannya akan dipuji di sisi Allah SWT".

Abu Muhammad r.a pernah ditanya: "Wahai Abu Muhammad! Siapakah ulama?" Jawabnya: "Orang-orang yang mengutamakan akhirat daripada dunia dan mengutamakan Allah daripada diri mereka sendiri".

Saidina Umar ibn al Khattab r.a pernah mewasiatkan: "Berbincanglah mengenai urusanmu dengan orang-orang yang takutkan Allah".

Al Wasiti r.a berkata: "Manusia yang paling pengasih ialah ulama, kerana perasaan takut mereka kepada Allah dan kebimbangan mereka terhadap apa yang diajar oleh Allah SWT".

Banyak ayat dan hadis yang menyebut tentang kemuliaan ilmu atau ulama. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Penuntut ilmu dijamin oleh Allah rezekinya".

Ketahuilah, bahawa ilmu yang diulang-ulang sebutannya di dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW ialah ilmu yang bermanfaat yang disertai oleh perasaan takut kepada Allah. Bahkan, ilmu yang bermanfaat juga ialah ilmu yang mampu menguasai nafsu dan mengekang syahwat.

Disebut juga, ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang membantu pemiliknya mentaati Allah, dan berdiri di atas landasan agama Allah.

Sebahagian Salaf berkata: "Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya)".

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi r.a: "Apakah ilmu yang paling berguna?" Jawabnya, "Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah SWT dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu".

Beliau berkata lagi: "Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawaduk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

"Apabila orang alim yang mencintai dunia dan ahlinya, dan mengumpulkan dunia melebihi daripada keperluannya, maka dia akan lalai daripada akhirat dan ketaatan kepada Allah mengikut kadar kecintaannya kepada dunia".

Berpada-pada menadah air...

Jika kamu menadah air biarlah berpada. Jangan terlalu mengharap pada takungannya, dan janganlah menganggap ia begitu teguh.Cukuplah sekadar keperluanmu. Apabila sekali ia retak, tentu sukar untuk kamu menampalnya semula, akhirnya ia dibuang. Sedangkan jika kamu cuba membaikinya, mungkin ia masih boleh digunakan lagi. Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, terimalah seadanya. Jangan kamu terlalu mengaguminya, atau mengharapkannya, dan jangan pula kamu menganggapnya begitu istimewa, anggaplah dia juga manusia biasa. Apabila dia melakukan kesilapan, bukan mudah bagi kamu menerimanya. Akhirnya kamu kecewa meninggalkannya. Sedangkan jika kamu memaafkannya, boleh jadi hubungan kamu berterusan hingga ke akhirnya... Bertemu kerana Allah, berpisahnya jua kerana Allah...

HIJRAH 10: Pengenalan, Objektif & Justifikasi


PENGENALAN


Simposium Maal Hijrah 1431 adalah salah satu projek yang dianjurkan oleh Balai Islam Kolej Kediaman Pertama bagi sesi 2009/2010. Program ini diilhamkan bersempena sambutan tahun Hijrah dengan matlamat untuk membawa unsur-unsur Islam ke peringkat umum. Hal ini kerana, dalam usaha untuk membina mahasiswa yang berilmu dan fleksibel, tidak dinafikan pengetahuan dan kefahaman mengenai Islam amatlah penting.


Lantaran itu, Balai Islam Kolej Kediaman Pertama mengambil inisiatif untuk mendedahkan kepada mahasiswa tentang nilai-nilai Islam dalam usaha untuk membina modal insan yang berkualiti seiring dengan seruan kerajaan kita pada hari ini.


Penganjuran Simposium Maal Hijrah 1431 ini juga dilihat sebagai medium untuk mengembangkan lagi budaya ilmu dan intelektual dalam kalangan mahasiswa, yang secara tidak langsung mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai minda kelas pertama.


OBJEKTIF


1.1 Memberi kesedaran mengenai kepentingan penghayatan Islam dalam merintis arus perubahan ke satu tahap yang lebih baik.

1.2 Mewujudkan satu medium yang khusus untuk memperkenal dan mempromosikan program-program berkaitan Islam dalam kalangan masyarakat dalam dan luar kampus.

1.3 Mengembangkan lagi budaya ilmu dan intelektual dalam kalangan mahasiswa yang secara tidak langsung mampu melahirkan mahasiswa yang mempunyai minda kelas pertama.

1.4 Membina dan mengeratkan ukhwah antara mahasiswa dan warga luar kampus melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

1.5 Mengkaji pemahaman konsep hijrah dan pengaplikasiannya dalam kalangan warga kampus terutamanya.


JUSTIFIKASI


2.1 Ilmu pengetahuan amat penting kepada mahasiswa dalam usaha untuk melahirkan modal insan yang cemerlang.

2.2 Nilai-nilai agama amat penting dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang rohani dan jasmani.

2.3 Menyerlahkan fungsi Balai Islam sebagai organisasi yang menjalankan program-program yang berteraskan nilai-nilai Islam.

Brotherhood of Muslim Camping


Brotherhood of Muslim Camping 09


Ingin menambah kenalan? Mengeratkan ukhuwah?
Mencuba aktiviti baru?


Tarikh : 22 - 24 November 2009


Tempat : Kem Sri Raudhah,Gombak


Bayaran : RM25 sahaja*


Aktiviti menarik : Jungle Tracking,kayak,explorace,flying fox,sukaneka


*Termasuk makanan,pengangkutan,penginapan,sijil




Pengalaman dapat,

ilmu pun dapat

dan ukhuwah terikat




'Tekno daie' tangkis dakyah 'musuh'

'Tekno daie' tangkis dakyah 'musuh'

Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh

MEGA: Siapakah yang memperkenalkan istilah 'tekno daie' dan apakah ciri yang perlu ada pada golongan ini?

SHAIKH SAIFUDDEEN: Istilah ini diperkenalkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi beberapa bengkel dan seminar yang dianjurkan sejak tahun 1990-an lagi.

Istilah ini tidak semestinya merujuk kepada individu yang mempunyai pengetahuan agama dan pengetahuan teknologi. 'Tekno daie' perlu dilihat sebagai satu gerakan berjemaah dengan ahlinya terdiri daripada mereka yang berpengetahuan dalam bidang agama sebagai content provider dan berpengetahuan dalam bidang teknikal sebagai technology enabler.

Dengan kata lain, 'tekno daie' sebenarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang berbeza tetapi bermatlamat sama iaitu ingin menegakkan syiar Islam yang mengajak manusia ke arah kebenaran.

Ini sebagai mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, maka sesiapa yang tidak berkuasa maka mengubahnya dengan hati dan jika tidak berkuasa membencinya dengan hati, itulah selemah-lemah iman. (riwayat Bukhari)

Ciri-ciri yang perlu ada pada diri tekno daie antaranya:

lMempunyai ilmu mengenai Islam sama ada mendalam atau asas.

lMenguasai ICT seiring dengan perkembangan teknologi.

lBerminat dengan teknologi.

lMengikuti perkembangan teknologi khususnya ICT.

lTidak menyalahgunakan teknologi bagi kepentingan diri, dan

lMempunyai kod etika dan akhlak yang baik yang ditonjolkan menerusi 'produk' dakwah berasaskan teknologi yang dihasilkan. (Isma Rosila Ismail, 2005, Masa depan tekno daie di Malaysia)

Apakah peluang yang perlu dimanfaatkan oleh 'tekno daie' melalui komuniti maya ini?

SHAIKH SAIFUDDEEN: Hari ini ramai pendakwah sudah memanfaatkan platform yang ada dalam ICT bagi menyampaikan mesej dakwah atau digelar 'dakwah sambil bergerak'. Cuma, banyak lagi ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah.

Sebahagian daripada aplikasi popular yang digunakan oleh pelayar Internet bagi tujuan komunikasi adalah komuniti maya, YouTube dan pembelajaran secara jarak jauh. Aplikasi ini sebenarnya boleh memanfaatkan carta penyampaian dakwah secara berkesan.

Dengan menggunakan aplikasi ini, dakwah dapat disampaikan dengan lebih interaktif di samping memperluaskan sempadan penyampaian. Dalam kajian di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2004, 64 peratus daripada 128 juta penduduk AS menggunakan rangkaian Internet bagi tujuan keagamaan.

Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tentang pengguna Internet di Malaysia menunjukkan majoritinya adalah berusia antara 15 ke 19 tahun iaitu 17.9 peratus, diikuti oleh yang berumur 20 ke 24 tahun (15.7 peratus).

Malah sejak peristiwa 11 Sept. 1999, Internet menjadi antara sumber utama masyarakat dunia mencari maklumat serta kefahaman tentang Islam. (McKenna & West, 2007).

Memikirkan jumlah capaian yang besar pengguna Internet terhadap rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster dan sebagainya, tidak hairan jika ia boleh digunakan sebagai medium penyebaran Islam yang efektif.

Antara cabaran utama ialah 'mengajak' pendakwah 'veteran' menggunakan ICT. Bagaimana merealisasikan hasrat ini?

SHAIKH SAIFUDDEEN: Memanglah generasi muda pendakwah tidak berhadapan kesulitan menggunakan ICT. Sudah pasti untuk menggalakkan ulama senior menggunakan ICT adalah cabaran yang lebih besar.

Namun, bukan semua yang tidak cekap dan celik ICT. Datuk Dr. Ismail Ibrahim (penyandang Kursi Abdullah Fahim di Universiti Kebangsaan Malaysia) telah guna komputer sejak tahun 1998 lagi.

Demikian juga dengan Fellow Amat Utama Akademik Institut Antara bangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Dr. Uthman el-Muhammady.

Dalam hal ini, kita perlu berfikiran positif dan bersedia menerima perubahan semasa. Lagipun, banyak masjid di Lembah Klang yang sudah menggunakan Power Point dalam khutbah Jumaat selain pelbagai talian secara on-line untuk menderma, bayar zakat dan sebagainya telah digunakan.

Di sebalik peluang yang ada, apakah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pendakwah dalam era ICT ini?

SHAIKH SAIFUDDEEN: Saya ingin memberi tumpuan kepada tiga cabaran utama.

Pertama, mewujudkan kandungan. Persoalan siapa yang mampu menyediakan kandungan bagi aplikasi ICT sering menjadi isu.

Ia tidak boleh dibiarkan dipikul oleh individu atau pihak tertentu sahaja. Sebaliknya, perlu ada usaha berjemaah dan terancang bagi menggerakkan tenaga dan kepakaran sedia ada ke arah pewujudan kandungan Islamik.

Mungkin sesuai jika ada organisasi atau badan khusus yang boleh merencanakan pembangunan kandungan ini menggunakan pelbagai platform ICT. Contohnya, dengan mengumpulkan ahli-ahli agama sebagai content provider dan ahli-ahli teknologi sebagai technology enabler.

Cabaran kedua berkait dengan kesahihan kandungan sedia ada di dalam Internet.

Umum mengetahui sesiapa sahaja (termasuk musuh Islam) boleh membangun dan meletakkan apa sahaja kandungan yang dikehendaki menggunakan pelbagai aplikasi ICT.

Jika maklumat itu berkenaan Islam, sebagai pengguna biasa bagaimanakah cara kita menentukan kesahihan maklumat tersebut?

Oleh itu, pengguna Internet perlu dididik dan diberi panduan asas memastikan kesahihan maklumat tersebut. Perlu juga ada badan pemantau maklumat-maklumat ini dari semasa ke semasa supaya tidak ada maklumat yang mengelirukan atau memesongkan akidah yang boleh mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan masyarakat.

Cabaran ketiga adalah dalam kelimpahan pelbagai laman web interaktif, pelbagai aplikasi yang dimuatkan di dalamnya amat menarik dan mencetus minat untuk mencuba.

Seperti dalam Facebook, ada banyak permainan atas talian, kuiz dan pautan yang biasanya menghibur dan menggembirakan untuk dikongsi bersama rakan-rakan.

Namun, pengguna perlu bijak memilih aplikasi tertentu yang lebih banyak bawa manfaat berbanding yang melalai dan tidak berfaedah.

Elakkan aplikasi yang boleh menjatuhkan maruah diri, memberi imej tidak baik kepada pengguna atau mengganggu privasi orang lain. Apatah lagi jika aplikasi itu dianggap boleh menghakis akidah penggunanya seperti kuiz 'bila kamu akan mati', 'rahsia hidung anda', 'rahsia darah anda' dan 'singkap rahsia nombor'.

Terdapat juga keperluan pendakwah mewujudkan aplikasi dakwah yang boleh dicapai menggunakan alat seperti IPhone yang kini semakin luas penggunaannya.

Apa keseimbangan yang perlu ada kepada para pengguna ICT?

SHAIKH SAIFUDDEEN: Sememangnya ICT menyediakan peluang dan ruang yang amat luas untuk menjalankan tugas dakwah. Baik yang berbentuk dakwah bil kitab (menerusi percakapan), dakwah bil lisaan (penulisan) atau dakwah bil hal (menerusi perbuatan).

Realitinya kehidupan manusia hari ini banyak berkisar dengan dunia teknologi. Dengan kata lain, manusia abad ke-21 adalah manusia yang technocentric kerana tidak dapat lari daripada mengguna malah bergantung kepada teknologi.

Justeru, bagi menghampiri golongan ini, pendakwah juga perlu turun, bukan lagi ke padang tetapi ke dunia maya ICT.

Di sinilah letaknya peranan yang perlu dimainkan oleh tekno daie. Mereka bukan sahaja gah daripada segi nama dan istilah tetapi perlu meninggalkan kesan yang besar dalam menjalankan amanah dakwah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW.

Para pengguna ICT perlu sentiasa memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya melalui 'menekan hanya satu butang di komputer'. Jangan pula menjadi penyebar 'emel berantai'.

Terkini Daripada KISMIS '09



Program Kuliah Ilmu Sepuluh Minit Insyallah Settle atau lebih dikenali dengan KISMIS 09 yang diatur khas oleh Biro Pengisian dan Pengimarahan Balai Islam Astar merupakan program khas sempena study week dan exam week. Ia sememangnya lebih kepada penyampaian tazkirah ringkas daripada pimpinan BI, para ajk dan beberapa orang warga Astar yang lain.

KISMIS 09 membuka tirainya pada 27 Okt. 09 dengan sedikit pengisian ilmu yang disampaikan oleh Hasyim. Perkongsiannya lebih kepada cara mencapai kejayaan dalam konteks individu muslim. Antaranya termasuklah membetulkan niat, istiqamah, sabar, menyebarkan ilmu, memuliakan guru, hubungan dengan Allah dan manusia serta bijak memilih rakan. Turut dikongsi bersama ialah akhlak penuntut ilmu seperti, merasakan tanggungjawab menuntut ilmu, tawaduk, beramal dan menyampaikan ilmu. Kisah kesungguhan Imam Syafie dan Abdullah Bin Abbas dalam menuntut ilmu juga turut diselitkan bersama. (more-mukmin cemerlang)

Diakhir tazkirahnya, sahabat-sahabat jemaah yang ada ditanya apakah yang dapat digambarkan jika diberikan sebuah mangkuk yang cantik, madu, dan sehelai rambut... Menutup tazkirahnya, dikhabarkan bahawa, ilmu itu lebih cantik daripada mangkuk yang cantik itu, menuntut ilmu lebih manis daripada madu, dan beramal dengan ilmu yang ada itu lebih susah daripada meniti sehelai rambut.

KISMIS 09 seterusnya disampaikan oleh Luqman Hakim, merangkap PP Publisiti dan Informasi. Lebih kepada perkongsian mengenai kisah-kisah para sahabat mengenai ilmu dan solat yang menjadi asas kepada individu muslim.

Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: "orang yang berilmu itu tidak akan puas dari mencari ilmu yang didengarinya, sehingga adalah kesudahannya itu di dalam syurga"
[H.R Tirmidzi]


Manakala, PP Pengurusan Surau iaitu Syahir pula menyampaikan mengenai lebih kepada faktor kejayaan individu muslim. Antaranya ialah solat, hubungan dengan Allah dan makhlukNya, dan selawat. Umum mengetahui bahawa solat merupakan tiang agama, dengan solat jugalah mampu mencegah kita daripada perbuatan mungkar sebagaimana yang termaktub dalam Surah Al-Ankabut. Perlu diketahui juga, apabila kita menjaga hubungan dengan penduduk di muka bumi Allah, nescaya kita akan dikasihi oleh penduduk langit dan yang paling penting hubungan kita dengan Allah lah yang paling utama yang perlu dijaga dengan sebaiknya. (more-solat)

Keesokannya, Nazzem (ajk pengisian) pula mengisi slot KISMIS dengan membawa para jemaah untuk mengingat kembali peristiwa Al-Aqsa. Turut diingatkan bahawa, Al-Aqsa merupakan isu sejagat yang harus diketahui, diambil kisah dan difahami apakah yang berlaku sebenarnya. Ia bukanlah satu rentetan peristiwa yang bermusim, hangat diperkatakan apabila musuh Islam datang menyerang, senyap dan sunyi apabila semuanya selesai secara mata kasarnya. Ironinya, itulah yang berlaku sekarang.

Isu sejagat, isu sedunia ini... yang mencabuli negara dan saudara-saudara Islam kita sendiri seolah-olah dipandang sebelah mata oleh semua pihak. Lantas, dimanakah kesedaran kita? Boikot? Berperang? Kempen? Atau sekadar berdoa ?

Ahmad Azhari merangkap PP Dana dan Kebajikan pula menyampaikan tazkirah bertajuk ujian Allah adalah tanda kasihnya. Sebagai hambaNya yang memang diciptakan untuk beribadat kepadaNya, harus difahami bahawa segala apa yang berlaku kepada diri kita datangnya daripada Allah dan segala apa yang kita lakukan juga adalah dengan niat kerana Allah. Sabda Rasulullah SAW... Barangsiapa yang Allah mahukan kebaikan untuknya, Allah akan mengujinya dengan kesusahan... Riwayat Al Bukhari.

Turut disampaikan juga mengenai mengapa kita diuji? Perkara pertama yang perlu difahami ialah setiap ujian itu adalah rahsia Allah, samada hendak menguji iman kita, semakin bertambah atau berkurang. 4 perkara utama mengapa kita diuji antaranya termasuklah, untuk menunjukkan tahap keimanan kita, untuk meningkatkan kedudukan di sisi Allah, ajaran terus daripada Allah, dan juga sebagai mesej dan peringatan kepada manusia. Apabila kita diuji, kita sebenarnya semakin mengenali diri kita, dan apabila kita mengenali diri kita, nescaya kita akan mengenal Allah. (more-mengenal Allah)

KISMIS diteruskan dengan penyampaian daripada Ahmad Fadhlul Hadi yang merupakan PP Domestik dan Teknikal.

Suhail Anwar pula selaku Pengerusi BI menyampaikan mengenai syukur. Antara syukur dengan kufur, mungkin ramai yang tidak kisah dengannya. Syukur...apalah sangat, jika tidak bersyukur pun, Allah masih memberi. Tetapi, apakah makna pemberian Allah jika tidak langsung terselit rasa syukur di hati kita? Dapatkah kita jamin bahawa pemberian Allah itu diiringi dengan keredhaannya? Beranikah kita untuk menyatakan pemberian Allah itu sebagai tanda kasihnya? Jika melafaz Alhamdulillah pun sukar sekali, mungkinkah kita hamba bersyukur? atau kufur nikmatNya? (more-syukur)

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka Sesungguhnya azab-Ku sangat pedih".

Surah Ibrahim: 4


Diakhir tazkirahnya, membawakan semula kisah bagaimana Imam Syafie bertanya 6 soalan kepada muridnya. Iaitu, apakah yang paling dekat dengan kita, paling jauh, paling besar, paling berat, paling ringan serta paling tajam. (more-6 soalan)


Seterusnya, KISMIS menjemput khas warga Astar yang lebih mesra dikenali sebagai Achik. Merupakan pelajar tahun pertama daripada jurusan Kaunseling. Berbicara mengenai syukur... banyak kisah menarik dan yang dikongsi bersama... Yang ditegaskan adalah, apa pun yang menimpa kita kita perlulah bersyukur, mengucapkan Alhamdulillah... kerana apa yang berlaku itu, merupakan ketentuan Allah dan pasti ada hikmah disebaliknya. Setiap ujian Allah itu juga merupakan rahsia Allah, maka bersyukurlah kita sementara menanti hikmah disebaliknya.

"Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu."

KISMIS yang seterusnya menantikan penyampaian dan tazkirah-tazkirah daripada generasi-generasi tahun pertama yang bakal menjadi pelapis ke arah memakmurkan Islam di Astar ini terutamanya seterusnya ke seluruh masyarakat sejagat.

Bersama mengimarahkan majlis ilmu, majlis ilmu umpama taman-taman syurga. Sampai dan sebar-sebarkan walau sepotong ayat...Insyaallah...

Sekian, lintas langsung daripada KISMIS 09 - M.H.

    ....LOGO RASMI....

    ....LOGO RASMI....

    SAF KEPIMPINAN

    Sampaikan Salam


    ShoutMix chat widget

    Penyelia Penasihat

    Penyelia Penasihat
    En Mat Zaid Bin Hussein

    Pengerusi

    Pengerusi
    Suhail Anwar B
    Mohamed Nor

    Timb. Pengerusi

    Timb. Pengerusi
    Mohd Hasyim Harun

    Setiausaha

    Setiausaha
    Tunku Aisyah Tunku Mat

    Bendahari

    Bendahari
    Nursyahida Abd Rashid

    PP Pengisian & Pengimarahan

    PP Pengisian & Pengimarahan
    Awang Abdullah
    Abdul Razak

    TPP Pengisian & Pengimarahan

    TPP Pengisian & Pengimarahan
    Nurul Izyan Zainuddin

    PP Publisiti & Informasi

    PP Publisiti & Informasi
    Luqman Hakim
    Muhd Fadzir

    TPP Publisiti & Informasi

    TPP Publisiti & Informasi
    Nurul Syahidah Roslam

    PP Dana & Kebajikan

    PP Dana & Kebajikan
    Ahmad Azhari Nordin

    TPP Dana & Kebajikan

    TPP Dana & Kebajikan
    Adibah Dzulkifli

    PP Domestik & Teknikal

    PP Domestik & Teknikal
    Ahmad Fadhlul Hadi Abdul Hamid

    TPP Domestik & Teknikal

    TPP Domestik & Teknikal
    Liyana Syazwani Abdul Razak

    PP Pengurusan Surau

    PP Pengurusan Surau
    Mohd Syahir Bin Lokman

    TPP Pengurusan Surau

    TPP Pengurusan Surau
    Norsaima Ismail


    Followers