Iklan songsang cemar kemurnian budaya

Oleh Imlan Adabi-B. Harian

Sehingga kini kerajaan belum kuat kuasa sebarang akta khusus



SANGGUPKAH anda mencari dan mengira 1,000 seluar dalam wanita yang sengaja disembunyikan? Bagaimana perasaan anda jika sedang berada di pelamin, lalu ditanyakan: "Kau dah potong ke belum?"

Ada wanita yang bermuram dan kurang keyakinan diri semata-mata muka berjerawat kerana kawannya lambat memberitahu mengenai pembersih muka yang menjadi 'idaman kita semua'.

Sekali lagi dan secara berterusan, citra songsang pengiklanan terus berleluasa di sekeliling kita.


Iklan yang awalnya sekadar untuk memperkenalkan produk, kini sudah menjadi suatu bentuk pemaksaan terhadap pengguna. Orang ramai ditakutkan supaya membeli barangan mereka agar sentiasa setanding dengan orang lain dalam pelbagai hal.

Tanpa membeli produk yang diiklankan, kita akan dianggap kolot, kurang keyakinan, banyak masalah kerana segala-galanya sudah dilimpahkan melalui produk yang diperkenalkan.

Ada syarikat pemaju perumahan yang projeknya jarak 40 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur, mengiklankan kediaman selesa dengan perjalanan hanya 10 minit ke ibu kota. Iklan tidak masuk akal ini berulang sepanjang masa dengan pelbagai citra songsang yang memesongkan akal pengguna.

Namun tiada tindakan diambil kerana kita kurang penguatkuasaan untuk menghukum pengiklan yang menipu pengguna. Sehingga kini Malaysia belum ada akta pengiklanan yang khusus untuk mengawal selia corak papan tanda dan mesej yang dipaparkan kepada orang ramai.

Kekurangan ini menyebabkan pengiklan sentiasa mencari ruang untuk memesongkan cita rasa pengguna semata-mata untuk kepentingan pengeluar produk. Penyelewengan dan pemaksaan secara halus terhadap pengguna dibawa ke ruang tamu rakyat Malaysia sepanjang masa melalui pelbagai media.

Akta Perihal Dagangan 1972 sekadar memberi garis panduan terhadap pengiklan serta 'pesanan' supaya tidak keterlaluan menyampaikan mesej. Oleh kerana kita belum ada akta khusus mengawal pengiklanan, Akta Perihal Dagangan 1972 saja yang boleh diharapkan untuk memantau setiap isyarat pengiklanan sepanjang masa menerusi penerbitan katalog, senarai harga, surat pekeliling, label, kad atau tayangan gambar.

Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya. Iklan songsang terus berleluasa dan akta yang wujud sekadar tercatat di atas kertas tanpa sebarang tindakan. Pemantauan dan tindakan hukum oleh penguat kuasa terlalu longlai menyebabkan imej songsang dan lucah kerap muncul di kaca TV dan panggung wayang.

Seks, wanita dan harga diri diperdagangkan secara berleluasa. Iklan kereta mewah menampilkan seorang gadis seksi yang menenggek di atas kusyen dengan mata separuh tertutup dan mulut ternganga. Iklan syampu, krim pencerah kulit, gincu dan tuala wanita menampilkan insan lincah dan manja.

Ada wanita berkemban dan ada juga gadis berpakaian ketat berlari tanpa arah. Hanya iklan ubat nyamuk dan serbuk cuci pakaian yang menampilkan Opah dan Mak Limah dengan wajah berminyak.

Sebelum ada larangan khusus iklan tembakau, banyak syarikat pengeluar rokok mengeksploit produk mereka dengan pelbagai helah.

Penajaan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Frazier dibawa 'khusus' oleh syarikat X yang mementingkan keaslian bersukan, Sukan Olimpik dan Bola Sepak Piala Dunia sebelum ini ditaja oleh syarikat rokok, malah liga bola sepak tempatan juga 'dibawa khusus' sebuah syarikat rokok terkenal.

Imej ahli sukan diperguna seolah-olah rokok memberi kekuatan tambahan untuk aktiviti riadah. Rokok pernah dianggap sebagai sumber inspirasi. Ada iklan yang menampilkan aksi seorang pelukis pelan yang sukar menyiapkan tugasan kerana kebuntuan. Dia kembali bertenaga selepas menyedut asap rokok Y. Rokok juga dianggap hebat dan berstatus tinggi.

Orang ramai terus diperdaya untuk menjadi mangsa iklan yang ada masanya sesuatu produk dibeli kerana imej songsang pengiklanan.

Apakah kita sanggup terus dipermainkan dengan imej songsang walaupun negara sudah 52 tahun merdeka? Sesuatu perlu dilakukan supaya pengiklanan seluar dalam dan 'potong' tidak berleluasa lagi. Kerajaan perlu bertindak dan menghukum syarikat yang kerap memperdayakan pengguna. Citra songsang bukan budaya kita.


0 Responses

    ....LOGO RASMI....

    ....LOGO RASMI....

    SAF KEPIMPINAN

    Sampaikan Salam


    ShoutMix chat widget

    Penyelia Penasihat

    Penyelia Penasihat
    En Mat Zaid Bin Hussein

    Pengerusi

    Pengerusi
    Suhail Anwar B
    Mohamed Nor

    Timb. Pengerusi

    Timb. Pengerusi
    Mohd Hasyim Harun

    Setiausaha

    Setiausaha
    Tunku Aisyah Tunku Mat

    Bendahari

    Bendahari
    Nursyahida Abd Rashid

    PP Pengisian & Pengimarahan

    PP Pengisian & Pengimarahan
    Awang Abdullah
    Abdul Razak

    TPP Pengisian & Pengimarahan

    TPP Pengisian & Pengimarahan
    Nurul Izyan Zainuddin

    PP Publisiti & Informasi

    PP Publisiti & Informasi
    Luqman Hakim
    Muhd Fadzir

    TPP Publisiti & Informasi

    TPP Publisiti & Informasi
    Nurul Syahidah Roslam

    PP Dana & Kebajikan

    PP Dana & Kebajikan
    Ahmad Azhari Nordin

    TPP Dana & Kebajikan

    TPP Dana & Kebajikan
    Adibah Dzulkifli

    PP Domestik & Teknikal

    PP Domestik & Teknikal
    Ahmad Fadhlul Hadi Abdul Hamid

    TPP Domestik & Teknikal

    TPP Domestik & Teknikal
    Liyana Syazwani Abdul Razak

    PP Pengurusan Surau

    PP Pengurusan Surau
    Mohd Syahir Bin Lokman

    TPP Pengurusan Surau

    TPP Pengurusan Surau
    Norsaima Ismail


    Followers