'Tekno daie' tangkis dakyah 'musuh'
Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh
Shaikh Mohd. Saifuddeen Shaikh Mohd. Salleh
MEGA: Siapakah yang memperkenalkan istilah 'tekno daie' dan apakah ciri yang perlu ada pada golongan ini?
SHAIKH SAIFUDDEEN: Istilah ini diperkenalkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menerusi beberapa bengkel dan seminar yang dianjurkan sejak tahun 1990-an lagi.
Istilah ini tidak semestinya merujuk kepada individu yang mempunyai pengetahuan agama dan pengetahuan teknologi. 'Tekno daie' perlu dilihat sebagai satu gerakan berjemaah dengan ahlinya terdiri daripada mereka yang berpengetahuan dalam bidang agama sebagai content provider dan berpengetahuan dalam bidang teknikal sebagai technology enabler.
Dengan kata lain, 'tekno daie' sebenarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai latar belakang berbeza tetapi bermatlamat sama iaitu ingin menegakkan syiar Islam yang mengajak manusia ke arah kebenaran.
Ini sebagai mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangan, maka sesiapa yang tidak berkuasa maka mengubahnya dengan hati dan jika tidak berkuasa membencinya dengan hati, itulah selemah-lemah iman. (riwayat Bukhari)
Ciri-ciri yang perlu ada pada diri tekno daie antaranya:
lMempunyai ilmu mengenai Islam sama ada mendalam atau asas.
lMenguasai ICT seiring dengan perkembangan teknologi.
lBerminat dengan teknologi.
lMengikuti perkembangan teknologi khususnya ICT.
lTidak menyalahgunakan teknologi bagi kepentingan diri, dan
lMempunyai kod etika dan akhlak yang baik yang ditonjolkan menerusi 'produk' dakwah berasaskan teknologi yang dihasilkan. (Isma Rosila Ismail, 2005, Masa depan tekno daie di Malaysia)
Apakah peluang yang perlu dimanfaatkan oleh 'tekno daie' melalui komuniti maya ini?
SHAIKH SAIFUDDEEN: Hari ini ramai pendakwah sudah memanfaatkan platform yang ada dalam ICT bagi menyampaikan mesej dakwah atau digelar 'dakwah sambil bergerak'. Cuma, banyak lagi ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh pendakwah.
Sebahagian daripada aplikasi popular yang digunakan oleh pelayar Internet bagi tujuan komunikasi adalah komuniti maya, YouTube dan pembelajaran secara jarak jauh. Aplikasi ini sebenarnya boleh memanfaatkan carta penyampaian dakwah secara berkesan.
Dengan menggunakan aplikasi ini, dakwah dapat disampaikan dengan lebih interaktif di samping memperluaskan sempadan penyampaian. Dalam kajian di Amerika Syarikat (AS) pada tahun 2004, 64 peratus daripada 128 juta penduduk AS menggunakan rangkaian Internet bagi tujuan keagamaan.
Laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tentang pengguna Internet di Malaysia menunjukkan majoritinya adalah berusia antara 15 ke 19 tahun iaitu 17.9 peratus, diikuti oleh yang berumur 20 ke 24 tahun (15.7 peratus).
Malah sejak peristiwa 11 Sept. 1999, Internet menjadi antara sumber utama masyarakat dunia mencari maklumat serta kefahaman tentang Islam. (McKenna & West, 2007).
Memikirkan jumlah capaian yang besar pengguna Internet terhadap rangkaian sosial seperti Facebook, Twitter, Friendster dan sebagainya, tidak hairan jika ia boleh digunakan sebagai medium penyebaran Islam yang efektif.
Antara cabaran utama ialah 'mengajak' pendakwah 'veteran' menggunakan ICT. Bagaimana merealisasikan hasrat ini?
SHAIKH SAIFUDDEEN: Memanglah generasi muda pendakwah tidak berhadapan kesulitan menggunakan ICT. Sudah pasti untuk menggalakkan ulama senior menggunakan ICT adalah cabaran yang lebih besar.
Namun, bukan semua yang tidak cekap dan celik ICT. Datuk Dr. Ismail Ibrahim (penyandang Kursi Abdullah Fahim di Universiti Kebangsaan Malaysia) telah guna komputer sejak tahun 1998 lagi.
Demikian juga dengan Fellow Amat Utama Akademik Institut Antara bangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC) Dr. Uthman el-Muhammady.
Dalam hal ini, kita perlu berfikiran positif dan bersedia menerima perubahan semasa. Lagipun, banyak masjid di Lembah Klang yang sudah menggunakan Power Point dalam khutbah Jumaat selain pelbagai talian secara on-line untuk menderma, bayar zakat dan sebagainya telah digunakan.
Di sebalik peluang yang ada, apakah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pendakwah dalam era ICT ini?
SHAIKH SAIFUDDEEN: Saya ingin memberi tumpuan kepada tiga cabaran utama.
Pertama, mewujudkan kandungan. Persoalan siapa yang mampu menyediakan kandungan bagi aplikasi ICT sering menjadi isu.
Ia tidak boleh dibiarkan dipikul oleh individu atau pihak tertentu sahaja. Sebaliknya, perlu ada usaha berjemaah dan terancang bagi menggerakkan tenaga dan kepakaran sedia ada ke arah pewujudan kandungan Islamik.
Mungkin sesuai jika ada organisasi atau badan khusus yang boleh merencanakan pembangunan kandungan ini menggunakan pelbagai platform ICT. Contohnya, dengan mengumpulkan ahli-ahli agama sebagai content provider dan ahli-ahli teknologi sebagai technology enabler.
Cabaran kedua berkait dengan kesahihan kandungan sedia ada di dalam Internet.
Umum mengetahui sesiapa sahaja (termasuk musuh Islam) boleh membangun dan meletakkan apa sahaja kandungan yang dikehendaki menggunakan pelbagai aplikasi ICT.
Jika maklumat itu berkenaan Islam, sebagai pengguna biasa bagaimanakah cara kita menentukan kesahihan maklumat tersebut?
Oleh itu, pengguna Internet perlu dididik dan diberi panduan asas memastikan kesahihan maklumat tersebut. Perlu juga ada badan pemantau maklumat-maklumat ini dari semasa ke semasa supaya tidak ada maklumat yang mengelirukan atau memesongkan akidah yang boleh mempengaruhi pemikiran dan kepercayaan masyarakat.
Cabaran ketiga adalah dalam kelimpahan pelbagai laman web interaktif, pelbagai aplikasi yang dimuatkan di dalamnya amat menarik dan mencetus minat untuk mencuba.
Seperti dalam Facebook, ada banyak permainan atas talian, kuiz dan pautan yang biasanya menghibur dan menggembirakan untuk dikongsi bersama rakan-rakan.
Namun, pengguna perlu bijak memilih aplikasi tertentu yang lebih banyak bawa manfaat berbanding yang melalai dan tidak berfaedah.
Elakkan aplikasi yang boleh menjatuhkan maruah diri, memberi imej tidak baik kepada pengguna atau mengganggu privasi orang lain. Apatah lagi jika aplikasi itu dianggap boleh menghakis akidah penggunanya seperti kuiz 'bila kamu akan mati', 'rahsia hidung anda', 'rahsia darah anda' dan 'singkap rahsia nombor'.
Terdapat juga keperluan pendakwah mewujudkan aplikasi dakwah yang boleh dicapai menggunakan alat seperti IPhone yang kini semakin luas penggunaannya.
Apa keseimbangan yang perlu ada kepada para pengguna ICT?
SHAIKH SAIFUDDEEN: Sememangnya ICT menyediakan peluang dan ruang yang amat luas untuk menjalankan tugas dakwah. Baik yang berbentuk dakwah bil kitab (menerusi percakapan), dakwah bil lisaan (penulisan) atau dakwah bil hal (menerusi perbuatan).
Realitinya kehidupan manusia hari ini banyak berkisar dengan dunia teknologi. Dengan kata lain, manusia abad ke-21 adalah manusia yang technocentric kerana tidak dapat lari daripada mengguna malah bergantung kepada teknologi.
Justeru, bagi menghampiri golongan ini, pendakwah juga perlu turun, bukan lagi ke padang tetapi ke dunia maya ICT.
Di sinilah letaknya peranan yang perlu dimainkan oleh tekno daie. Mereka bukan sahaja gah daripada segi nama dan istilah tetapi perlu meninggalkan kesan yang besar dalam menjalankan amanah dakwah yang ditinggalkan oleh Nabi SAW.
Para pengguna ICT perlu sentiasa memastikan kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya melalui 'menekan hanya satu butang di komputer'. Jangan pula menjadi penyebar 'emel berantai'.
Assalamualaikum dan salam ukhwah,
Pertama sekali terima kasih kerana meletakkan temu bual saya di Utusan Malaysia. Sekiranya saudara-saudari dari Balai Islam ingin mengadakan program-program yang sesuai di Kolej Kediaman Pertama, saya sedia bekerjasama. Untuk makluman, saya juga pensyarah sambilan di Fakulti Sains, Universiti Malaya. Jadi kerap juga berulang-alik ke UM.
Saya boleh dihubungi melalui e-mel shaikh@yi.org.my
Selamat maju jaya dan terima kasih.
Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh.
terima kasih...
insyallah...