Suatu ketika dahulu, seorang pedagang keluar berniaga dengan membawa dua ekor keldai. Keldai hitam dan keldai putih. Keldai hitam berasa dirinya lebih bertenaga berbanding kawannya, keldai putih.
Oleh itu, ia sentiasa cuba menarik perhatian tuannya dengan mengangkat beban yang lebih banyak serta berjalan dengan lebih pantas berbanding keldai putih. Sebaliknya, keldai putih berjalan pada kelajuan yang sama dan biasa serta membawa barang dagangn yang termampu sahaja. Pedagang mula marah, kerana keldai putih tidak setangkas keldai hitam, lalu pedagang itu memukulnya.
Malam itu sewaktu mereka sedang berehat, keldai putih datang mendekati keldai hitam. “kawanku,” kata keldai putih, “hanya kita berdua di sini, jadi, mengapa kita nak bersaing sesama sendiri? Bukankah elok kalau kita bawa barang yang sama berat, berjalan bersama-sama...” ucap keldai putih sambil menggosok-gosok badannya yang luka dipukul pedagang.
Tetapi keldai hitam tidak mengendahkannya, malah esoknya dia berjalan lebih laju lagi dan membawa lebih banyak barang. Dia tersenyum apabila dipuji tuannya dan gembira apabila melihat keldai putih dimarahi serta dipukul kerana tidak berjalan pantas dan membawa barang yang banyak. Tetapi hari-hari berikutnya, keldai hitam berasa tenaganya mulai surut dan berkurangan. Seluruh badannya sakit-sakit dan dia tidak mampu berjalan selaju dulu.
Suatu petang ketika matahari sedang terik, keldai hitam jatuh ke tanah. Dia tidak mampu lagi untuk bangun walaupun teruk dipukul dan dimarah tuannya. Pedagang marah kerana perjalanan merentasi bukit bukau itu masih ada beberapa hari lagi, sedangkan keldai hitam sudah tidak mampu untuk bangun. Lantas pedagang itu mengeluarkan pisau.
Sebelum keldai hitam itu disembelih, kawannya, keldai putih datang dan berbisik. “kawanku, aku sudah katakan dulu, jangan suka menunjuk-nunjuk kelebihan diri atau untuk mendapat pujian, jangan malukan sahabat sendiri, dan jangan pula kau rasa gembira melihat sahabatmu dalam kesusahan dan ditindas. Aku sudah pesan padamu banyak kali, tapi kau tidak mahu dengar, hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kau lagi...” keldai hitam menyesal dan menangis, beberapa minit kemudian, keldai hitam yang angkuh dan suka menunjuk-nunjuk itu pun disembelih...
Post a Comment